Sungai Skudai dicemari sampah

Keadaan perangkap sampah di Batu 9 Skudai yang dipenuhi dengan plastik, botol dan polisterin. Gambar kecil: Dari kiri; Mohd Rizal, Suzana dan Marina.
Keadaan perangkap sampah di Batu 9 Skudai yang dipenuhi dengan plastik, botol dan polisterin. Gambar kecil: Dari kiri; Mohd Rizal, Suzana dan Marina.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kehidupan penduduk Kampung Laut di sini yang berdepan dengan isu pencemaran dan pembuangan sampah di Sungai Skudai kini semakin parah.

Pada Sabtu lalu, kira-kira 300 penduduk kampung di situ, digemparkan dengan kejadian kepulan buih putih di atas permukaan Sungai Skudai yang turut tular di media sosial.

Tinjauan Sinar Harian di Sungai Skudai pada Selasa, mendapati kepulan buih putih sudah tidak kelihatan, namun terdapat tompokan minyak di atas permukaan air sungai.

Penduduk, Mohd Rizal Mohd Hamdan, 42, berkata, pencemaran dan pembuangan sampah bukan isu baharu memandangkan Sungai Skudai terletak hanya kira-kira 200 meter dari kediaman penduduk.

Beliau yang tinggal di situ sejak dari lahir berkata, perangkap sampah telah dibina di Batu 9, Skudai oleh pihak berkuasa bagi mengatasi isu pembuangan sampah di sungai terbabit.

"Saya sendiri pernah melihat segelintir orang awam buang sampah dari atas jambatan Taman Impian Emas ke dalam Sungai Skudai.

"Terdapat banyak sampah seperti plastik dan polisterin yang terperangkap pada perangkap sampah terbabit. Keadaan itu dikhuatiri akan mengakibatkan aliran air sungai tersekat dan boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat," katanya.

Keadaan Sungai Skudai yang dipenuhi botol dan sampah sarap.
Keadaan Sungai Skudai yang dipenuhi botol dan sampah sarap.

Mohd Rizal berkata, kejadian kepulan buih putih yang berlaku pada Sabtu lalu, mengejutkan penduduk yang mendakwa ia berpunca daripada aktiviti pembersihan loji atau kawasan perindustrian.

"Saya terkejut bila lihat rakaman video yang tular memaparkan kepulan buih putih di atas permukaan Sungai Skudai. Memang ada kepulan buih putih pada Sabtu, tetapi pada keesokan harinya sudah tiada," katanya.

Suzana Salleh, 55, pula berharap pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian kepulan buih dan pembuangan sampah berlaku di Sungai Skudai.

"Sejak 20 tahun lalu, air Sungai Skudai cukup jernih dan banyak ikan di situ. Tetapi keadaannya kini berubah, air sungai sudah keruh dan berwarna seakan-akan teh tarik.

"Penduduk di sini sangat mengharapkan agar Sungai Skudai tidak dicemari dengan sampah sarap," katanya.

Dalam pada itu, Normah Musa, 60, berkata, Sungai Skudai yang kini sudah cetek dibimbangi akan mengundang kejadian banjir kilat.

"Sungai Skudai memerlukan penyelenggaraan dan penambahbaikan. Selain perlu bersihkan sampah sarap, sungai juga perlu didalamkan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, sikap masyarakat yang menjadikan Sungai Skudai sebagai tempat pembuangan sampah cukup dikesali.

Menurutnya, masyarakat perlu mempunyai kesedaran menjaga sungai sebagai sumber bekalan air bersih dan menyedari peranannya kepada alam sekitar dan kehidupan harian.

Katanya, Sungai Skudai merupakan sungai utama di bandar raya Johor Bahru.

"Saya akan panjangkan isu Sungai Skudai ini kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan.

"Selain itu, satu program gotong-royong dirancang diadakan di Sungai Skudai bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kebersihan sungai," katanya.

Tompokan minyak kelihatan di atas permukaan Sungai Skudai sewaktu tinjauan dilalukan pada Selasa.
Tompokan minyak kelihatan di atas permukaan Sungai Skudai sewaktu tinjauan dilalukan pada Selasa.