Piala Thomas 2022: Zii Jia akui Momota masih terbaik

Zii Jia
Zii Jia
A
A
A

JAGUH perseorangan profesional negara Lee Zii Jia percaya lawannya dari Jepun Kento Momota masih yang terbaik meskipun pemain nombor dua dunia itu mungkin bergelut dengan prestasi buruknya sejak kebelakangan ini.

Zii Jia berkata, dia tidak mahu memandang ringan cabaran daripada Momota apabila kedua-dua pemain itu dijadual bertarung dalam perlawanan terakhir Kumpulan D pada pusingan Akhir Piala Thomas 2022 pada Rabu ini.

Oleh itu, pemain nombor enam dunia itu, yang menewaskan Toby Penty dalam straight set, 21-10, 21-15 untuk meraih mata pertama bagi Malaysia ketika menentang England dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D awal hari ini, berharap dapat meneruskan momentum tersebut dan menampilkan persembahan bertenaga apabila menentang Momota nanti.

"Lepas kalahkan dia di All England tempoh hari, prestasi dia (Momota) memang agak tak stabil namun saya rasa standard dia masih tinggi.

"Saya tak tahu bila dia akan dapatkan balik rentaknya, jadi saya tak boleh pandang rendah pada Momota,” katanya kepada wartawan selepas perlawanan menentang Penty.

Pasukan Piala Thomas negara menang 5-0 ke atas England.

Kali terakhir juara baharu Kejohanan Badminton Asia 2022 itu menewaskan Momota ialah pada pusingan suku akhir Kejohanan Badminton All England 2022 menerusi set penentuan, 21-7, 13-21, 21-11.

Walaupun Zii Jia mungkin diberi ‘cuti’ dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan menentang Amerika Syarikat (AS) esok, pemain dari Kedah berusia 24 tahun itu sudah meletakkan sasaran untuk membantu Malaysia meraih kemenangan ke atas Jepun.

"Saya mungkin tidak bermain menentang AS esok. Saya rasa kami harus menggunakan strategi yang sama ketika menentang Jepun nanti,” katanya.

Jepun, yang tidak menurunkan beberapa bintang mereka termasuk Momota, membelasah AS 5-0 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D, pada Isnin.

Sementara itu, kapten pasukan Aaron Chia, yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik untuk menyumbang mata kedua Malaysia selepas mengalahkan Ben Lane-Sean Vendy 19-21, 21-15, 21-16, berharap dapat melakukan aksi lebih mantap ketika menentang Jepun dalam usaha untuk menjuarai Kumpulan D.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Jepun Park Joo-bong mengakui Momota masih mencari rentak permainan terutama selepas bekas juara dunia dua kali itu terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kuala Lumpur, dua tahun lepas.

Bekas jurulatih Malaysia dan England itu juga berkata, kekalahan Momota di tangan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark dalam perlawanan akhir Terbuka Denmark pada Oktober lepas, 22-20, 18-21, 12-21, sememangnya telah menjejaskan prestasinya sehingga kini.

"Momota mengikuti semua program latihan tetapi dari segi mental mungkin dia belum pulih sepenuhnya selepas kemalangan itu.

"Saya rasa dia terlalu penat kerana selepas Terbuka Denmark, seminggu kemudian dia bermain dalam separuh akhir Terbuka Perancis tetapi terpaksa memberi kemenangan percuma kepada seorang lagi pemain Jepun, Kanta Tsuneyama,” katanya. - Bernama