Pemandu lori tangki minyak bersama isteri maut kemalangan

A
A

GERIK - Seorang pemandu lori tangki minyak dan isterinya maut manakala dua anak mereka terselamat apabila lori yang dinaiki terbabas dan terbalik di Kilometer 12, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik Ismail Che Isa berkata pemandu yang maut ialah Muhammad Fazil Muhamad, 34, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala manakala isterinya, Saadiah Mohd Rezal, 31, yang juga cedera di kepala meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.

Beliau berkata dua anak mangsa dikenali sebagai Nurul Syazwani Amani, 8, cedera di kaki kanan manakala Nurul Syazwana Ariyana, 6, tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Difahamkan lori tangki yang dipandu Muhammad Fazil dalam perjalanan dari Jeli ke Gerik dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu terbalik ke dalam longkang, di kiri jalan dalam kejadian 7.05 pagi.

“Akibat kemalangan itu, Muhammad Fazil telah tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya Saadiah meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Gerik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama