Lelaki OKU mangsa pemerdagangan di Myanmar rayu diselamatkan

Guo Nan (depan, dua kanan) menunjukkan lokasi terkini mangsa-mangsa pemerdagangan manusia ditempatkan pada sidang media bersama ahli keluarga mangsa di Bangunan MCA Perak, pada Isnin. - Foto Bernama
Guo Nan (depan, dua kanan) menunjukkan lokasi terkini mangsa-mangsa pemerdagangan manusia ditempatkan pada sidang media bersama ahli keluarga mangsa di Bangunan MCA Perak, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Seorang pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran yang mahu dikenali sebagai Ah Choong, 22, yang terkandas di Myanmar sejak Disember lepas akibat ditipu sindiket pekerjaan di media sosial yang menjanjikan gaji lumayan, merayu kepada kerajaan agar diselamatkan dengan segera.

Bapa saudara mangsa yang mahu dikenali sebagai Ah Lee, 48, berkata, dia mula menyedari tentang kejadian itu selepas dia menerima notifikasi transaksi yang tidak kenali sebanyak 55 kali pada telefon miliknya sebanyak RM90,104 ke dalam akaun bank anak buahnya dalam masa dua hari yang disyaki disalahgunakan oleh sindiket penipuan pada 27 April lepas.

"Sejak pertengahan Mac lalu, kami mengambil maklum tentang kehilangan Ah Choong dari Ipoh bersama teman wanitanya yang menetap di Kedah sehinggalah saya berjaya menghubunginya pada minggu lepas dan dia meminta wang pampasan untuk kembali pulang ke Malaysia,” katanya pada sidang media bersama ahli keluarga mangsa pemerdagangan manusia di Bangunan MCA Perak di sini, pada Isnin.

Menurutnya, demi mengambil langkah bertanggungjawab, dia memegang pasport milik anak saudaranya itu agar tidak hilang atau disalahgunakan oleh orang lain namun ajen syarikat tersebut bertindak membuat laporan polis tentang kehilangan pasport mangsa untuk menggantikan yang baharu lalu membawanya ke Myanmar.

"Dia kata kad bank miliknya telah dirampas dan dia telah dipukul sebelum dibawa menaiki pesawat ke negara itu untuk bekerja dengan bayaran kira-kira ASD7,000 setiap bulan, namun dimaklumkan bakal dipindahkan ke syarikat lain kerana tugasnya sebagai khidmat pelanggan tidak begitu baik,” kata Ah Lee dan menambah telah membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh di sini pada Rabu lepas supaya mangsa dapat diselamatkan pihak berkuasa.

Selain itu, seorang lagi mangsa pemerdagangan manusia yang hanya ingin dikenali sebagai Ah Meng, 32, yang dihubungi melalui laman sosial Facebook berkata, dia terkandas di Kemboja sejak lima bulan lalu selepas dijanjikan pekerjaan sebagai pekerja judi (kasino) tetapi malangnya diupah untuk menjadi penipu dalam talian.

"Saya ditempatkan bersama tujuh orang mangsa warga China dan Thailand dalam satu bilik. Saya amat takut kerana tidak mempunyai wang sebanyak USD$13,000 sebagai pampasan untuk pulang ke tanah air,” katanya ketika dihubungi bapanya dari MCA Perak secara panggilan video menerusi Facebook, pada Isnin.

Sementara itu, seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Madam Lee, 60, turut memohon agar kerajaan membantu membawa pulang anak sulungnya, Ah Kit, 34, (bukan nama sebenar) ke tanah air selepas didapati hilang sejak Februari lepas dan dikesan menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Bangkok, Thailand.

"Sebelum ini anak lelaki saya itu bekerja di Kuala Lumpur sebagai pelayan dan sering menghantar wang belanja kepada saya di sini namun kini, saya hanya boleh berhubung dengannya melalui aplikasi Messenger di Facebook dan dikawal oleh pihak sindiket,” katanya sambil menambah laporan polis telah dibuat oleh ahli keluarga di Balai Polis Pekan Baru di sini pada 29 Mac lepas.

Dalam pada itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) harus memandang isu ini dengan amat serius kerana masalah penipuan tawaran peluang pekerjaan dilihat semakin menjadi-jadi pada masa kini.

"MCMC perlu memastikan hantaran iklan pekerjaan sebegini di media sosial ditapis dan dipadam agar dapat mengurangkan kejadian pemerdagangan manusia berulang dan menjerat lebih banyak mangsa. Saya percaya kes pemerdagangan manusia didalangi sindiket tempatan,” tambahnya.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi Bernama berkata, pihaknya sedang melakukan semakan ke atas laporan-laporan yang dibuat oleh keluarga mangsa untuk tindakan lanjut. - Bernama