Mahkamah tolak maklumat pegawai SPRM dalam kes rasuah Bung Moktar

Bung Moktar (kanan) dan Zizie Izette (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual, tujuh tahun lalu.
Bung Moktar (kanan) dan Zizie Izette (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual, tujuh tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, memutuskan maklumat daripada sumber yang tidak diketahui oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak boleh dikemukakan pada perbicaraan kes rasuah melibatkan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Hakim Rozina Ayob memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal oleh pihak pembelaan ketika prosiding kes suapan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual, membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad.

Mahkamah berpuas hati bahawa maklumat itu tidak boleh dianggap sebagai laporan maklumat pertama (FIR) kerana ia tidak mematuhi peruntukan di bawah Akta SPRM 2009.

Ia melibatkan maklumat Penguasa Kanan Mohd Haris Ibrahim daripada salah seorang pegawai atasannya yang membawa kepada siasatan kes terhadap Bung Moktar dan isterinya.

Ketika memberi keterangan pada 12 April lalu, Mohd Haris, 42, yang juga saksi terakhir pendakwaan, menyatakan, beliau menerima arahan daripada pegawai atasan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk menulis aduan berhubung satu kes pada 9 Jun 2016.

Bagaimanapun, ia mendapat bantahan daripada pihak pembelaan yang mendakwa maklumat itu bersifat dengar cakap (hearsay) dan boleh memprejudiskan anak guamnya.

Ketika prosiding terdahulu, pembelaan berhujah, aduan tersebut tidak boleh dianggap sebagai FIR kerana ia dibuat berdasarkan maklumat yang diterima daripada seorang pegawai atasan selaku pihak ketiga, bukan daripada pemberi maklumat sendiri.

Peguam, Datuk K Kumaraendran yang mewakili pasangan suami isteri itu berkata, pasukan pendakwaan cuba menggunakan 'pintu belakang' agar laporan berkenaan diterima oleh mahkamah, sedangkan tiada pihak yang tampil membuat aduan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria berkata, SPRM mempunyai tatacara khusus yang memberi kuasa istimewa untuk menyiasat aduan dan maklumat yang diterima daripada sumber.

Menurutnya, mahkamah tidak boleh menyamakan tatacara berkenaan dengan siasatan kes-kes lain kerana SPRM melindungi pemberi maklumat.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, 64, yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette, 44, di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette, atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.