Maritim Perlis gagalkan cubaan seludup keluar 70kg daun ketum

Maritim
Maritim
A
A
A

KANGAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Kuala Perlis merampas 70 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM12,600 di kedudukan 3.1 batu nautika dari barat daya pantai Sungai Baru pada Ahad.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, rampasan itu dibuat hasil aduan orang awam melalui talian Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis berkaitan sindiket tempatan yang melakukan aktiviti menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran.

"Susulan itu, pihak Maritim mengatur gerak aset laut serta pasukan operasi ke lokasi bagi melakukan pemantauan dan pengawasan di lokasi berkenaan lebih kurang 1.56 tengah hari semalam,” katanya menerusi kenyataan, pada Isnin.

Beliau berkata, di lokasi tersebut anggota bot peronda menemukan empat bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum terapung di laut dengan anggaran berat lebih kurang 70kg dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Katanya, modus operandi yang digunakan oleh penyeludupan sama seperti tangkapan sebelum ini iaitu menggunakan bot fiber enjin sangkut menuju ke sempadan Thailand untuk dipindah ke bot nelayan Thailand di sempadan perairan Malaysia-Thailand.

Beliau berkata, aktiviti penyeludupan keluar daun ketum dilihat semakin aktif berikutan harga pasaran semasa di Thailand mencecah RM180 sekilogram berbanding pasaran tempatan RM70 sekilogram sahaja.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama