100 juta penduduk AS mungkin dijangkiti Covid-19

AS dijangka menghadapi gelombang peningkatan kes Covid-19 pada musim luruh tahun ini. - Foto AFP
AS dijangka menghadapi gelombang peningkatan kes Covid-19 pada musim luruh tahun ini. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Seramai 100 juta penduduk Amerika Syarikat (AS) kemungkinan akan dijangkiti Covid-19 pada musim luruh tahun ini, kata seorang pegawai kanan pentadbiran Presiden AS, Joe Biden baru-baru ini.

Kenyataan pegawai kanan yang dibuat dalam satu taklimat ketika angka kematian akibat pandemik tersebut yang mencecah hampir satu juta orang di AS itu kemudian dilaporkan oleh akhbar Washington Post.

Taklimat itu diadakan sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesediaan AS dan memujuk wakil-wakil rakyat negara tersebut untuk memperuntukkan berbilion- bilion dolar untuk membeli vaksin baharu dan melaksanakan ujian Covid-19.

Gelombang kematian diramalkan akan berlaku pada musim luruh dan musim sejuk ini yang didorong oleh subvarian Omicron baharu yang telah menunjukkan keupayaan luar biasa kerana mampu menembusi perlindungan imuniti.

Pada Mac lalu, pentadbiran Biden meminta peruntukan sebanyak AS$22.5 bilion (RM98.54 bilion) dalam pembiayaan bantuan Covid-19 tetapi ia telah dilucutkan daripada rang undang-undang AS.

Pentadbiran Biden telah berhujah bahawa tanpa pembiayaan baharu, AS kelihatan tidak bersedia untuk menghadapi ancaman Covid-19 pada masa depan ketika angka kematian akibat pandemik tersebut menghampiri satu juta orang.

Beberapa pakar bersetuju bahawa gelombang besar pada musim luruh dan musim sejuk ini mungkin berlaku memandangkan imuniti yang semakin berkurangan daripada vaksin Covid-19 manakala sekatan perjalanan yang dilonggarkan dan peningkatan varian yang kalis perlindungan imuniti. - Agensi