Rangnick mohon maaf kekalahan memalukan United

Sebahagian daripada pemain Manchester United kelihatan kecewa dengan kekalahan berkenaan. -Foto Getty Images
Sebahagian daripada pemain Manchester United kelihatan kecewa dengan kekalahan berkenaan. -Foto Getty Images
A
A
A

PENGENDALI interim Manchester United, Ralf Rangnick memohon maaf atas kekalahan 0-4 kepada Brighton di Stadium Falmer pada Ahad yang disifatkannya sebagai kekalahan yang cukup memalukan buat skuad The Red Devils musim ini.

Malah menurut Rangnick, kekalahan itu turut melenyapkan sama sekali sisa-sisa harapan kelab berkenaan untuk lolos ke kelompok empat pasukan teratas dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi menempah slot beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.

“Bagi saya, ini merupakan persembahan terburuk United musim ini..dari minit pertama hingga ke minit akhir perlawanan prestasi yang dipamerkan sangat mengecewakan.

“Oleh itu, tiada kata yang dapat digambarkan terhadap kekalahan yang sangat memalukan ini melainkan permohonan maaf (kepada penyokong),” katanya.

Kekalahan itu menyaksikan United kini berada pada kedudukan keenam carta liga dengan meraih 58 mata setelah mengharungi 37 perlawanan setakat ini.

Dengan berbaki satu perlawanan berdepan Crystal Palace pada 22 Mei ini, skuad The Red Devils itu sudah boleh merangka persiapan bagi mengharungi musim baharu kelak.

Malah kedudukan itu juga dilihat terancam dan boleh dipintas oleh West Ham yang kini berada pada kedudukan ketujuh dengan meraih 52 mata namun masih memiliki baki tiga perlawanan musim ini.

Sementara itu Rangnick berkata, kemenangan 3-0 ke atas Brentford Isnin lalu tidak wajar dijadikan perbandingan dengan kekalahan United kali ini.

Katanya, aksi berdepan Brentford merupakan aksi berbeza di mana kesemua pemain dilihat bersemangat untuk memastikan kemenangan.

“Aksi berdepan Brenftord memang berbeza. Jika pemain dilihat bersemangat berdepan Brentford tetapi sebaliknya berlaku apabila berdepan Brighton.

“Kali ini, pemain dilihat memberikan terlalu banyak ruang dan peluang kepada lawan untuk mengatur asakan,” katanya.