Lapan guru naik helikopter kembali bertugas di Nabawan

Arthur (dua dari kiri) bertemu dengan guru-guru sebelum berangkat ke tempat bertugas dengan menaiki helikopter di Keningau.
Arthur (dua dari kiri) bertemu dengan guru-guru sebelum berangkat ke tempat bertugas dengan menaiki helikopter di Keningau.
A
A
A

KENINGAU - Lapan guru yang mengajar di sekolah sekitar Mukim Tatalaan, Nabawan termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Pangaraan kembali bertugas ke sekolah dengan menaiki dua helikopter pada Ahad.

Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup memaklumkan beliau telah menyewa dua pesawat khas untuk kegunaan lapan guru pulang ke kawasan mereka tanpa melalui jalan darat yang terputus akibat bencana banjir baru-baru ini.

"Saya berada di lapangan terbang Keningau untuk menghantar pulang guru-guru yang akan kembali bertugas di SK Pangaraan dan sekitar Mukim Tatalaan, Nabawan.

"Saya telah menyewa dua helikopter pesawat khas untuk lapan guru balik ke kawasan tersebut tanpa melalui jalan dan sungai yang terputus akibat bencana banjir luar biasa yang baru-baru berlaku di kawasan itu," katanya melalui satu hantaran di Facebook rasminya pada Ahad.

Arthur (enam dari kiri) menghantar guru-guru yang bertugas di Nabawan dengan menaiki helikopter yang disewa khas untuk kembali ke kawasan bagi memulakan sesi persekolahan pada Isnin.
Arthur (enam dari kiri) menghantar guru-guru yang bertugas di Nabawan dengan menaiki helikopter yang disewa khas untuk kembali ke kawasan bagi memulakan sesi persekolahan pada Isnin.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, kebiasaannya guru-guru di kawasan itu akan mengambil masa tiga hingga enam jam perjalanan ke sekolah masing-masing bergantung dengan keadaan cuaca ketika itu.

"Tetapi disebabkan banjir luar biasa baru-baru ini telah menyebabkan infrastruktur jalan penghubung ke kawasan itu terputus dan menyebabkan mereka terpaksa berjalan kaki.

"Seperti yang telah diumumkan, peruntukan kecemasan telah diluluskan oleh Perdana Menteri untuk pembaikan infrastruktur yang telah rosak akibat bencana banjir.

"Pegawai-pegawai teknikal pun sudah membuat lawatan tapak lokasi yang berkaitan dan untuk maklumat terkini, pembinaan jambatan gantung untuk SK Nangkawangan dan juga SK Layon juga telah bermula beberapa hari lalu walaupun pegawai serta pekerja menghadapi kekangan cuti perayaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan kerja pembaikan yang lain akan menyusul dalam masa terdekat.

"Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan batasan tapi kita akan usahakan sebaiknya untuk menyegerakan semua kerja pembaikan yang diperlukan," katanya.