Terlalu awal raikan kejayaan

Skuad B-23 negara meraikan kemenangan ke atas Thailand pada Sabtu. - Foto fb FAM
Skuad B-23 negara meraikan kemenangan ke atas Thailand pada Sabtu. - Foto fb FAM
A
A
A

PENGENDALI skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Brad Maloney menegaskan masih terlalu awal untuk meraikan kejayaan skuad negara pada temasya Sukan SEA Hanoi, 2021 biarpun berjaya menewaskan pasukan pilihan, Thailand 2-1 di Stadium Thien Truong pada Sabtu.

Menurut Maloney, skuad B-23 negara perlu kekal fokus dalam usaha mencatatkan keputusan-keputusan positif pada baki tiga lagi perlawanan dalam saingan Kumpulan B untuk mara ke peringkat seterusnya.

“Masih terlalu awal untuk kita raikan kejayaan ini..masih ada tiga lagi perlawanan yang perlu diharungi selepas ini.

“Oleh itu, pemain diharap dapat kekal fokus bagi mengharungi kesemua perlawanan berkenaan kelak dan seterusnya mencatatkan lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya pada sidang media setelah tamat perlawanan pada Sabtu.

Untuk rekod, skuad B-23 negara menewaskan Thailand 2-1 pada aksi Kumpulan B dan sekali gus membuktikan skuad Harimau Muda itu sudah melalui persiapan rapi bagi mengharungi saingan di Sukan SEA kali ini.

Mengulas mengenai aksi kesebelasan pemain yang diturunkan, Maloney berkata, kesemua mereka telah memberikan aksi terbaik masing-masing berdasarkan kepada percaturan yang telah diatur.

Oleh itu katanya, skuad B-23 memang berhak meraih kemenangan dan seterusnya tiga mata pada aksi berkenaan atas kerja keras yang dilalui sebelum ini.

“Pertamanya, bagi saya, kesemua mereka telah bekerja keras bagi menjayakan perancangan dan percaturan perlawanan.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, pasukan ini juga tidak gentar untuk berdepan dengan sesiapa sahaja dan mereka telah buktikannya hari ini (Sabtu),” katanya.

Mengulas mengenai perlawanan berkenaan, Maloney berkata, aksi berdepan Thailand boleh disifatkan sebagai salah satu aksi yang sukar.

Malah katanya, beberapa pemain juga didapati mengalami kecederaan selepas perlawanan dan kesemua mereka akan diberikan rawatan dan diharapkan sempat pulih menjelang aksi kedua nanti.

Sementara itu, Maloney gembira menyaksikan kebanjiran penonton bagi menyaksikan aksi skuad kendaliannya beraksi berdepan Thailand.

Katanyak kebanjiran penonton seperti itu diharap berterusan selepas ini kerana kebanyakan pemain bola sepak sememangnya gemar beraksi di hadapan ribuan penonton.

“Kehadiran penonton yang ramai memang sesuatu yang menakjubkan..dan diharapkan ia bakal berterusan selepas ini,” katanya.