Hari kelapan Op Selamat di Kuala Langat rekod 1,853 saman

Polis melaksanakan rondaan premis sepanjang Op Selamat sempena Aidilfitri bagi mencegah kes jenayah.
Polis melaksanakan rondaan premis sepanjang Op Selamat sempena Aidilfitri bagi mencegah kes jenayah.
A
A
A

KUALA LANGAT - Polis mengeluarkan 1,853 saman lalu lintas di daerah ini sepanjang lapan hari pelaksanaan Op Selamat ke-18 bermula 29 April lepas sempena Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, pelbagai kesalahan yang dikesan terutamanya bagi enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

Ahmad Ridhwan
Ahmad Ridhwan

"Sepanjang tempoh itu juga, statistik kes kemalangan maut adalah sifar, namun kemalangan biasa menunjukkan peningkatan 47 peratus iaitu 119 kes berbanding Op Selamat ke-15 lalu.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat juga telah mengambil pendekatan membuat rondaan bagi mencegah kemalangan serta rondaan cegah jenayah sepanjang Op Selamat 18 ini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tambah Ahmad Ridhwan, Op Lancar juga dijalankan bagi melancarkan aliran trafik terutamanya di kawasan berlaku kesesakan dan di kawasan 'hotspot' kemalangan.

Beliau berkata, sepanjang OP Selamat ini juga, rondaan pencegahan jenayah turut dititikberatkan di premis bank, kedai dan di kawasan perumahan bagi menjamin tiada jenayah berlaku semasa masyarakat pulang ke kampung halaman.

"Bahagian Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti (BPJKK) daerah juga giat menjalankan rondaan bagi mencegah kes jenayah seperti kes pecah rumah, samun dan curi," katanya.

Menurutnya, masyarakat dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan di jalan raya.

Pada 28 April lalu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat 18 sehingga 8 Mei ini, pihaknya memberi tumpuan terhadap kelancaran lalu lintas dan membantu memudahkan perjalanan pengguna untuk pulang ke kampung halaman.