Khianat masjid, kubur kerana dengar bisikan

Laporan Sinar Harian pada 20 April 2022
Laporan Sinar Harian pada 20 April 2022
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki ditahan kerana melakukan perbuatan khianat di dua masjid dan tiga tanah perkuburan Islam di kawasan Sungai Kob, Kulim, dekat sini, sejak tahun lepas mendakwa mendengar bisikan suara ghaib menyuruhnya melakukan perbuatan itu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan di Taman Mutiara, dekat sini Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim hasil operasi dan risikan telah dijalankan pada Selasa lalu.

Mohd Redzuan memaklumkan, pemeriksaan mendapati lelaki itu terlibat dalam lima kes khianat yang berlaku di dua buah masjid dan tiga kawasan perkuburan Islam di sekitar kawasan Sungai Kob, Kulim.

"Kejadian mula berlaku pada bulan Oktober 2021 dan beberapa lagi siri kejadian selepas itu sehinggalah pada kejadian yang terbaru adalah pada Mei 2022.

"Punca kejadian adalah dari pengaruh dadah dan tangkapan mengatakan mendengar ‘bisikan’ mendesak melakukan perbuatan khianat tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau memaklumkan, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek yang tidak bekerja memiliki enam rekod dadah dan tiga rekod jenayah.

Tambah beliau, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain turut merampas dadah jenis heroin ketika menahan lelaki itu.

Menurut Mohd Redzuan, sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) akta sama.

Beliau menjelaskan, suspek kini direman sehingga 10 Mei ini bagi membantu siasatan kejadian terbabit.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki dipercayai melakukan perbuatan khianat dengan membaling batu nisan dalam Masjid Al Ittihad, Sungai Kob, Kulim di sini, pada Rabu.

Kejadian disedari seorang pengadu yang melakukan persiapan solat Subuh kira-kira jam 5.30 pagi.

Beliau berkata, lelaki itu terlihat ada batu nisan di bahagian saf hadapan dalam masjid berkenaan.