Malaysia tidak terlibat eksport semikonduktor ke Rusia

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah ditemui dalam sebuah temu bual khas di Wisma Putra, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah ditemui dalam sebuah temu bual khas di Wisma Putra, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia menegaskan tiada sebarang perbincangan yang dibuat dengan Rusia bagi menambah pengeksportan semikonduktor dan elektronik ke negara itu serta penerbangan terus oleh syarikat penerbangan Rusia, Aeroflot.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menjelaskan, pengeksportan semikonduktor dan elektronik ke Rusia lebih kepada hubungan sektor perdagangan antara ‘business to business’ dan tidak melibatkan sebarang perbincangan atau hubungan antara kerajaan.

“Penjelasan ini dibuat bagi mengelakkan salah faham oleh mana-mana pihak terhadap Malaysia dan kepentingan Malaysia mungkin terjejas,” katanya dalam Wawancara Khas bersama Sinar Harian, Bernama, The Star dan Sin Chew Daily yang diadakan di Wisma Putra pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kenyataan Duta Malaysia ke Rusia, Datuk Bala Chandran Tharman pada bulan lepas lepas berkaitan Aeroflot akan mengadakan penerbangan terus antara St.Petersburg atau Moscow dan Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Berdasarkan laporan agensi berita Sputnik, Bala Chandran Tharman dipetik sebagai berkata, Malaysia akan mempertimbangkan peluang untuk menjual semikonduktor dan elektronik kepada Rusia.

Susulan itu, beberapa media asing melaporkan tindakan sedemikian telah membelakangkan sekatan ekonomi antarabangsa terhadap Rusia kerana konfliknya dengan Ukraine.

“Kami (Wisma Putra) telah meneliti dan mendapatkan maklum balas daripada beliau tentang wawancara tersebut. Saya dapati, ada beberapa perkara yang beliau sebut dalam wawancara itu telah disalah petik.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskannya. Perkara mustahak yang saya harus sebutkan adalah Malaysia memang sebuah negara yang mengeksport barangan elektrik dan elektronik di kebanyakan negara termasuk ke Rusia.

“Tetapi yang saya nak jelaskan adalah tiada apa yang baharu. Mengeksport lebih banyak semikonduktor kepada Rusia itu lebih kepada hubungan dagangan antara ‘business to business’ dan kerajaan tidak terlibat,” jelasnya.