"Saya pun kecewa dengan mereka"

DR MAHATHIR
DR MAHATHIR
A
A
A

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut melahirkan rasa kecewa dengan pentadbiran PH, yang didakwa kurang menunjukkan prestasi.

Menurut beliau, bukan hanya Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, malah ramai yang melahirkan kekecewaan terhadap prestasi kerajaan PH.

Tanpa mengulas panjang, Dr Mahathir berkata, beliau turut merasai situasi sama apabila ditanya berhubung kenyataan Nurul Izzah dalam wawancara bersama akhbar Singapura, The Straits Times yang meluahkan kecewa dengan kerajaan PH yang gagal menunaikan janji dan gagal menggerakkan agenda reformasi.

“Tak apalah, banyak orang pun kecewa. Saya pun kecewa dengan diaorang (mereka),” katanya ringkas, ketika ditemui media selepas Majlis Amanat Khas Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman, semalam.

Sebelum ini, Nurul Izzah berkata, bukan mudah bekerja dengan bekas diktator yang telah menyebabkan pelbagai kerosakan, bukan sahaja dalam keluarga, bahkan kepada sistem pemerintahan negara.

Pada wawancara itu, Nurul Izzah turut mengumumkan hasrat untuk tidak lagi bertanding pada pilihan raya selepas penggalnya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh berakhir.

Sebelum itu, Nurul Izzah membuat kejutan meletakkan jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) setelah tidak bersetuju dengan pendirian Dr Mahathir yang mengekalkan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC.

Sementara itu, ketika diminta mengulas tindakan kesemua Ahli Parlimen pembangkang yang menganggotai PAC meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta, Dr Mahathir berkata, terpulang kepada mereka untuk bertindak demikian.

Artikel Berkaitan:

“Takpalah, mereka nak letak jawatan, letaklah. Itu mereka punya hal,” katanya.