KPDNHEP sahkan kehabisan petrol di beberapa stesen minyak di Terengganu

Masalah kekurangan petrol yang tular dalam media sosial poada Jumaat. - Foto Facebook
Masalah kekurangan petrol yang tular dalam media sosial poada Jumaat. - Foto Facebook
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu mengesahkan berlaku kekurangan petrol di beberapa stesen minyak di negeri ini sebagaimana tular dalam media sosial pada Jumaat.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, siasatan KPDNHEP mendapati kejadian itu berpunca daripada penggunaan petrol tinggi melebihi jangkaan susulan peningkatan jumlah kenderaan yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Setiap stesen minyak mempunyai kuantiti petrol yang boleh digunakan untuk tempoh tertentu tapi disebabkan penggunaan terlampau tinggi pada hari raya, petrol ini habis sebelum tiba tarikh bekalan baharu diisi.

"Kebanyakan stesen minyak terjejas adalah yang berada di laluan utama dari Besut ke Kuala Terengganu kerana ia menjadi tumpuan pengguna jalan raya," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun menurut Saharuddin, kekurangan bekalan hanya melibatkan petrol jenis RON95 dan keadaan dijangka pulih sepenuhnya secara berperingkat.

Saharuddin
Saharuddin

Beliau berkata, usaha mengisi bekalan baharu petrol di stesen minyak mengambil sedikit masa berikutan masalah kesesakan lalu lintas menyukarkan lori tangki tiba dengan lebih cepat.

Pada Jumaat, tular dalam media sosial tentang berpuluh kenderaan dilaporkan tersadai di stesen minyak di Setiu berikutan kehabisan petrol.