Lima pemain edisi Filipina 2019 antara sandaran di Hanoi 2021

Senarai 20 pemain Harimau Muda ke Hanoi 2021.
Senarai 20 pemain Harimau Muda ke Hanoi 2021.
A
A
A

LIMA pemain pernah beraksi pada edisi 2019 disenaraikan dalam 20 pemain skuad Harimau Muda ke Sukan SEA Hanoi 2021 Vietnam.

Pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Brad Maloney menyifatkan ia satu keputusan sukar kerana kesemua pemain memberikan komitmen tinggi sepanjang sesi latihan.

"Ia bukan mudah untuk saya tetapi saya harus membuat keputusan kerana peraturan hanya membenarkan 20 pemain sahaja didaftarkan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Jumaat.

Lima pemain yang pernah beraksi di Sukan SEA Filipina 2019 terbabit adalah Quentin Cheng, Harith Haiqal Adam Afkar, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Luqman Hakim Shamsudin dan Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Skuad negara juga dibarisi Muhammad Mukhairi Ajmal Mahad, Muhammad Azri Ab Ghani, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazil, Muhamad Syahir Bashah, Ahmad Danial Ahmad Asri dan Mohd Aiman Afif Md Afizul.

Sementara itu, empat lagi pemain iaitu Muhammad Rahadiazli Rahalim, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim, Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan, Muhammad Shafi Azswad Sapari yang turut terbang bersama pasukan ke Hanoi pada Rabu lalu diletakkan dalam senarai bersedia.

Mereka akan kekal di Hanoi bagi menggantikan mana-mana pemain yang terpaksa digugurkan jika diuji positif Covid-19 di sepanjang saingan Sukan SEA 2021.

Untuk rekod, juara enam kali Malaysia, yang diundi dalam Kumpulan B, akan membuka kempen menentang juara 16 kali Thailand pada jam 8 malam pada Jumaat.

Malaysia seterusnya akan bertemu Laos pada Rabu (11 Mei), Singapura pada Sabtu (14 Mei), dan Kemboja (16 Mei), dengan kumpulan tersebut dijadual berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.

Sementara saingan Kumpulan A yang dibarisi tuan rumah yang juga juara bertahan, Vietnam bersama-sama Indonesia, Myanmar, Filipina dan Timor-Leste pula berlangsung di Stadium Viet Tri, Phu Tho.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan separuh akhir di Stadium Thien Truong dan Stadium Viet Tri pada 19 Mei ini.