Op Selamat: 15 kematian di Perak

Azizan (kanan) memeriksa lesen memandu pengguna jalan raya sempena Operasi Bersepadu Enam Kesalahan Utama Lalu Lintas bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Jalan Maxwell, Ipoh pada Jumaat.
Azizan (kanan) memeriksa lesen memandu pengguna jalan raya sempena Operasi Bersepadu Enam Kesalahan Utama Lalu Lintas bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Jalan Maxwell, Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 15 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan di negeri ini sepanjang tujuh hari Op Selamat 18 yang bermula Jumaat lalu sempena Aidilfitri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Azizan Hassan berkata, sebanyak 1,160 kemalangan turut dilaporkan berlaku dalam tempoh sama.

Menurutnya, jumlah itu menyaksikan peningkatan 16 peratus atau 157 kes berbanding Op Selamat 15 pada 2019 lalu yang merekodkan 11 kematian.

"Daerah Ipoh mencatatkan jumlah tertinggi kes kemalangan sebanyak 294 kes diikuti Tapah (124), Taiping (122), Hilir Perak (82), Kuala Kangsar (78), Manjung (77) dan Kerian (73).

"Penunggang dan pembonceng motosikal pula merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan sembilan kes diikuti lima pemandu dan penumpang serta seorang pejalan kaki," katanya kepada pemberita sempena Operasi Bersepadu Enam Kesalahan Utama Lalu Lintas bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Jalan Maxwell di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, jalan persekutuan merekodkan jumlah kemalangan maut tertinggi dengan sembilan kes, lebuh raya empat kes dan satu kes masing-masing di jalan bandaran dan jalan lain.

Katanya, peningkatan jumlah nahas jalan raya dan bilangan mereka yang maut itu amat membimbangkan.

"JSPT Perak berusaha mengawal kadar kemalangan daripada terus meningkat dengan menempatkan pegawai dan anggota di kawasan 'blackspot' yang telah dikenal pasti," katanya.

Sementara itu, Azizan berkata, sebanyak 9,975 saman trafik dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya di seluruh negeri.

Ujarnya, daripada jumlah itu, kesalahan pandu laju merekodkan bilangan saman tertinggi dengan 2,972 kes diikuti kesalahan meletak kenderaan di kawasan larangan (461), lesen (339), abai peraturan lalu lintas (271) dan tali pinggang keledar (178).

"Jumlah saman yang dikeluarkan pada operasi kali ini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 898 berbanding 9,077 saman bagi operasi sama pada 2019,” katanya.

Mengulas operasi yang diadakan bermula jam 4 petang tadi, Azizan memberitahu, sebanyak 66 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Katanya, tidak mematuhi isyarat lalu lintas merekodkan jumlah saman tertinggi sebanyak 35 saman diikuti tiada lesen memandu (9), gagal tunjuk lesen (6) dan tidak memakai tali pinggang keledar (6).

"Pihak JSPT akan sentiasa menjalankan operasi seperti ini dan mengambil tindakan tegas kepada pengguna jalan raya yang masih ingkar terhadap peraturan jalan raya yang ditetapkan," katanya.