Dua lelaki kantoi bawa 408.26g dadah dalam kereta

Dua lelaki yang ditahan susulan penemuan dadah yang tersorok dalam kenderaan mereka ketika Op Samseng Jalanan pada Jumaat. Foto: Ihsan PDRM
Dua lelaki yang ditahan susulan penemuan dadah yang tersorok dalam kenderaan mereka ketika Op Samseng Jalanan pada Jumaat. Foto: Ihsan PDRM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis menahan dua lelaki susulan penemuan 408.26 gram dadah tersorok dalam kenderaan mereka dalam Op Samseng Jalanan di susur masuk tol Kuala Terengganu di sini pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, lelaki berusia 29 dan 31 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan serta pemandu lori itu ditahan kira-kira jam 3 pagi dalam sekatan jalan raya di sana.

"Suspek yang menetap di Kuantan, Pahang menaiki kereta Proton Satria ditahan ketika tiba di laluan tersebut.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek menemui pil berwarna merah disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar 408.26 gram," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurut Ismail, hasil ujian saringan urin juga mendapati kedua-dua mereka positif methamphetamine.

Selain itu katanya, dalam sekatan sama, polis turut menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dari Kuala Terengganu yang didapati positif methamphetamine.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Ismail turut memaklumkan sebanyak 150 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik atas pelbagai kesalahan dalam operasi tersebut yang di sekitar bandar raya ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, dua motosikal juga disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana pengubahsuaian dan tidak mempunyai lesen memandu.

Sementara itu Ismail berkata, sempena Op Selamat yang kini memasuki hari kelapan, JSPT akan sentiasa memantau kelancaran lalu lintas terutama di lokasi tumpuan utama.

"Antaranya di laluan utama seperti Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu yang menjadi tumpuan orang ramai untuk pulang selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman," katanya.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan merancang perjalanan dengan baik selain cukup rehat supaya lebih fokus serta selamat tiba ke destinasi.