Kerja pengerukan beri keyakinan feri guna alur pelayaran

Kerja pengerukan kecemasan dilakukan di Terminal Feri Kuala Perlis,pada Februari lepas.
Kerja pengerukan kecemasan dilakukan di Terminal Feri Kuala Perlis,pada Februari lepas.
A
A
A

KUALA PERLIS - Kerja-kerja pengerukan kecemasan di Terminal Feri Kuala Perlis, dekat sini, pada Februari lepas memberi sedikit keyakinan kepada perkhidmatan feri menggunakan alur pelayaran tersebut.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata, bagaimanapun paras air laut untuk keselamatan pelayaran feri masih dikekalkan 1.6 meter (m) ke atas.

“Paras air laut di kawasan terminal berkenaan dikekalkan disebabkan lumpur telah memasuki alur pelayaran ketika ini.

“Kerja pengerukan masih kurang memberi impak yang positif kepada alur pelayaran tetapi ia dilihat memberi sedikit keyakinan untuk menggunakan alur pelayaran itu,” katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.

Pada 2 Februari lalu, seramai 423 penumpang terkandas selepas feri yang dijadualkan berlepas dari Pulau Langkawi menuju ke Kuala Perlis mengalami kerosakan dan tidak dapat belayar mengikut jadual ditetapkan berikutan air di alur pelayaran di Terminal Feri Kuala Perlis surut di bawah paras 1.6 m.

Susulan itu, kerja pengerukan dilaksanakan di alur pelayaran dan lembangan Terminal Feri Kuala Perlis bagi mengatasi masalah mendapan yang berlaku di jeti terbabit.

Mengenai kekerapan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi dan Langkawi ke Kuala Perlis Baharin berkata, hanya dua trip perjalanan sehari dari 1 Ramadan hingga 21 Ramadan disebabkan permintaan kurang dan bagi mengurangkan impak negatif kenaikan harga minyak diesel.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, konsortium telah membuat penambahan perjalanan feri sebanyak enam perjalanan sehari yang melibatkan tambahan 2,000 tempat duduk sehari dari 22 Ramadan hingga 7 Syawal.

Artikel Berkaitan:

Kata Baharin, ia tertakluk kepada pasang surut air laut ketika ini dan konsortium sentiasa memantau permintaan penumpang sepanjang cuti panjang perayaan Aidilfitri.

Tambah beliau, konsortium tidak menolak kemungkinan membuat lebih banyak perjalanan feri keluar masuk ke Langkawi jika ada permintaan.

Katanya, jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan keluar masuk Langkawi dijangkakan melebihi 10,000 orang sehari berbanding sambutan hari raya Aidilfitri tahun lepas ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam perkembangan sama, menurut beliau, buat masa ini konsortium mempunyai jumlah feri yang mampu membawa 25,000 orang penumpang sehari.