JAIS larang kutip sumbangan di masjid tanpa kebenaran

Mohd Shahzihan
Mohd Shahzihan
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak sama ada individu, kumpulan, pemilik sekolah swasta, pertubuhan bukan kerajaan atau parti politik dilarang memungut wang atau sumbangan di masjid, surau dan musala tanpa kebenaran.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, aktiviti itu perlu mendapat kebenaran daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di bawah Seksyen 106 (1) Enekmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) tahun 2013 pindaan 2018.

Menurutnya, pihak yang mengambil bahagian melakukan pungutan wang bagi maksud khairat dan manfaat agama tanpa surat kebenaran MAIS adalah salah di bawah subseksyen 106 (4) Enekmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) tahun 2013 pindaan 2018.

"Jika sabit salah, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM1, 000 atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

" Pihak pentadbir masjid, surau dan musala tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam kutipan khairat bagi apa-apa tujuan oleh mana-mana pihak selain untuk tujuan dan manfaat masjid, surau dan musala masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, penerimaan dan perbelanjaan wang atau sumbangan yang sah perlu diaudit oleh pentadbir masjid dan dilaporkan kepada JAIS.

"Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak perkenan wujud individu atau pihak yang mengambil kesempatan di atas kemurahan hati umat Islam.

"Baginda bimbang terdapat pihak mengambil kesempatan menggunakan wang sumbangan bagi kepentingan peribadi atau kekuasaan dan pengaruh selain untuk menguatkan lagi kumpulan yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar," katanya.

Mohd Shahzihan turut menasihatkan orang awam sentiasa berhati-hati sebelum menyumbang bagi memastikan aktiviti khairat tanpa kebenaran tidak lagi berlaku di Selangor.

Ujarnya, orang awam boleh menghulurkan derma atau sedekah terus kepada Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (Tijari) yang diuruskan oleh JAIS.