Paras air Sungai Melaka meningkat, operasi MRC dihenti sementara

Melaka River Cruise terpaksa dihentikan sementara berikutan paras air Sungai Melaka terlalu tinggi akibat hujan lebat sejak pagi tadi.
Melaka River Cruise terpaksa dihentikan sementara berikutan paras air Sungai Melaka terlalu tinggi akibat hujan lebat sejak pagi tadi.
A
A
A

MELAKA - Operasi Melaka River Cruise (MRC) terpaksa dihentikan sementara hari ini berikutan paras air Sungai Melaka terlalu tinggi akibat hujan lebat sejak pagi tadi.

Pengurusan MRC berkata, pengoperasian semula perkhidmatan itu akan dimaklumkan selepas keadaan kembali pulih.

"Hujan lebat menyebabkan paras air sungai Melaka tinggi serta arus deras dan cuaca juga tidak menentu. Berikutan itu, operasi bot di Melaka River Cruise terpaksa dihentikan sementara sehingga keadaan kembali pulih,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Sementara itu, beberapa kawasan di sekitar daerah Melaka Tengah turut dilanda banjir kilat selepas hujan berterusan sejak 7 pagi ini.

Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Melaka Tengah dalam kenyataanya pagi Jumaat memaklumkan hujan lebat selama hampir empat jam itu menyebabkan tujuh kawasan terjejas di daerah tersebut.

"Laluan di Batu Hampar ditutup sementara untuk semua kenderaan selain jalan utama di Ayer Keroh juga terjejas dengan bencana banjir kilat ini.

"Kawasan lain yang terjejas ialah Kampung Telok, Kampung Pulau Kelapa, Kampung Sungai Putat, Taman Peringgit Ria dan Bukit Cina,” katanya.

Bagaimanapun, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka sehingga 10 pagi ini selain paras air di kebanyakan kawasan juga semakin pulih.- Bernama