Kematian doktor pelatih: Polis rekod keterangan ahli keluarga

Polis akan merekod keterangan ahli keluarga seorang doktor pelatih Hospital Pulau Pinang (HPP) yang dilaporkan maut terjatuh dari kediamannya dalam kejadian 17 April lalu. - Gambar hiasan
Polis akan merekod keterangan ahli keluarga seorang doktor pelatih Hospital Pulau Pinang (HPP) yang dilaporkan maut terjatuh dari kediamannya dalam kejadian 17 April lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Polis akan merekod keterangan ahli keluarga seorang doktor pelatih Hospital Pulau Pinang (HPP) yang dilaporkan maut terjatuh dari kediamannya dalam kejadian 17 April lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, sehingga kini, polis sudah merakamkan keterangan daripada doktor dan rakan serumah mangsa berhubung kejadian terbabit.

Bagaimanapun katanya, polis masih menjalankan siasatan berhubung punca kematian pegawai perubatan tersebut.

"Kita akan rekod keterangan daripada ahli keluarga mangsa pada minggu ini. Selain itu, kita masih menunggu keputusan bedah siasat, ujian makmal dan laporan kimia berhubung kematian mangsa.

"Sehingga kini, kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Difahamkan, mangsa terjatuh dari tingkap bilik kediaman sewanya di aras 23, sebuah apartment di Jalan Dato Keramat, di sini.

Mangsa yang berusia 25 tahun itu merupakan graduan daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Ma'arof Sudin berkata, kejadian itu masih dalam siasatan polis dan orang ramai diminta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih mengenainya.

Menurutnya, JKNPP dan Hospital Pulau Pinang (HPP) akan memberi sepenuh kerjasama kepada polis untuk melengkapkan siasatan kes tersebut.

Susulan daripada itu, Kerajaan Pulau Pinang menggesa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa inkuiri khas berhubung insiden kematian mangsa.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, penubuhan inkuiri itu adalah penting bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian tersebut selain mengelakkan perkara sama berulang terutamanya melibatkan doktor-doktor pelatih di negara ini.