Harimau Muda mampu cipta kejutan

Skuad kendalian Brad Maloney mempunyai kualiti tersendiri untuk memberikan cabaran sengit kepada lawan serta membawa pulang kejayaan pada temasya Sukan SEA Hanoi 2021. Foto: FAM
Skuad kendalian Brad Maloney mempunyai kualiti tersendiri untuk memberikan cabaran sengit kepada lawan serta membawa pulang kejayaan pada temasya Sukan SEA Hanoi 2021. Foto: FAM
A
A
A

PEMAIN tengah, Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan optimis skuad Bawah 23 Tahun (B-23) mampu mencipta kejutan meraih pingat emas Sukan SEA Hanoi 2021 yang berlangsung bulan ini, di Vietnam biarpun berdepan cabaran sengit.

Bahkan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) II berusia 20 tahun itu melihat tiada sebab mengapa pasukan negara tidak berupaya menggenggam semula kilauan emas selepas kali terakhir Malaysia memenanginya pada edisi 2011 di Indonesia.

Beliau percaya dengan komitmen serta kesungguhan tinggi rakan sepasukan, tidak mustahil mereka mampu mendepani apa saja cabaran daripada pasukan lawan.

"Pasukan lain pun pastinya nak berjuang untuk matlamat (menang pingat emas) yang sama, jadi mesti mereka akan bagi 100 peratus. Tetapi kalau kami boleh bagi 120 peratus, kami beri lebih daripada apa yang mereka bagi,” katanya.

Pada masa sama, Muhamad Umar mengakui meletakkan harapan untuk meraih emas di Hanoi, selain Sukan SEA kali ini istimewa buat dirinya kerana ia adalah penampilan kedua beliau di temasya sukan dwitahunan itu selepas turut beraksi pada edisi 2019 di Filipina.

Pada penyertaan sulungnya tiga tahun lalu, Malaysia menamatkan saingan kumpulan di kedudukan kedua tercorot sekali gus gagal mara ke peringkat kalah mati, selepas cemerlang memenangi pingat perak pada 2017 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, ketua jurulatih B-23 negara Brad Maloney masih belum berani bercakap mengenai sasaran pasukannya di Hanoi.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Australia itu percaya pasukannya mempunyai kualiti tersendiri untuk memberikan cabaran sengit kepada lawan serta membawa pulang kejayaan.

"Sudah tentu, kami mahu berjaya dan saya percaya ia adalah kumpulan yang bagus, kami telah memilih pemain terbaik yang ada untuk ini (Sukan SEA)... pada pendapat saya, kita akan menjadi sangat kompetitif," katanya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan saingan menentang juara terbanyak Sukan SEA, Thailand Sabtu ini, diikuti Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja pada 16 Mei bagi memburu dua slot teratas kumpulan untuk layak ke peringkat separuh akhir.

Kesemua perlawanan Kumpulan B akan berlangsung di Stadium Thien Truong di Nam Dinh Sabtu ini.

Sukan SEA ke-31 dijadual bermula 12 hingga 23 Mei dengan acara bola sepak antara sukan yang membuka saingan lebih awal. - BERNAMA