Tasik Cermin sesak dengan pengunjung

Sejak 1 Mei lalu, Tasik Cermin tidak henti-henti dipenuhi orang ramai yang ingin melihat keindahan kawasan tersebut.
Sejak 1 Mei lalu, Tasik Cermin tidak henti-henti dipenuhi orang ramai yang ingin melihat keindahan kawasan tersebut.
A
A
A

IPOH - Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini bukan sahaja menyebabkan jalan-jalan utama menjadi sesak, tetapi kesan sama turut dialami di tempat-tempat tumpuan pelancong.

Antara yang menjadi tumpuan termasuklah Tasik Cermin, di sini yang menerima kehadiran pengunjung sehingga 4,500 orang sehari.

Pengarah Pelancongan dan Korporat Tasik Cermin Tourism, Siti Norlizawati Narawi berkata, peningkatan jumlah pengunjung bermula pada 1 Mei lalu dengan kehadiran kira-kira 2,800 orang sehari seterusnya meningkat kepada kira-kira 3,000 orang pada hari berikutnya.

Orang ramai mengambil peluang bergambar di Tasik Cermin sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.
Orang ramai mengambil peluang bergambar di Tasik Cermin sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, kemuncak kehadiran pengunjung adalah pada 3 Mei dengan jumlah pelawat kira-kira 4,500 orang menyebabkan kawasan tersebut sesak.

"Peningkatan kali ini sangat ketara dan kita terpaksa hadkan setiap orang 10 minit untuk bergambar bagi memberi peluang kepada pengunjung lain menikmati pemandangan serta merakam momen indah di Tasik Cermin ini.

"Keadaan ini merupakan petanda yang amat baik sebenarnya kepada industri pelancongan di negeri ini setelah dua tahun sepi dan terjejas teruk akibat pandemik Covid-19," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Siti Norlizawati berkata, disebabkan keadaan itu juga, pihaknya terpaksa mengubah waktu operasi yang bermula lebih awal iaitu jam 8 pagi sehingga 7 malam berbanding hari biasa iaitu jam 9 pagi hingga 6 petang.

Katanya, pertambahan waktu operasi berkenaan bagi membolehkan lebih ramai pengunjung menikmati suasana dan keindahan Tasik Cermin.

Menurutnya, pemandangan Tasik Cermin yang indah itu menyebabkan orang ramai sanggup datang untuk merakam gambar walaupun terpaksa menunggu lama.

Jelas Siti Norlizawati, keadaan itu dijangka berterusan sehingga hujung minggu ini memandangkan ramai yang masih lagi bercuti.