Tersentuhnya...

No Image Caption
A
A
A

BUDAK lelaki berusia dua tahun ini menawan hati jutaan pengguna media sosial selepas video yang memaparkan kemahirannya menggunakan penyepit makanan untuk memakan pelbagai jenis hidangan hingga tular di Internet.

Video yang menunjukkan Haihai yang berasal dari utara China memakan pelbagai jenis makanan seperti mi, nasi dan pelbagai hidangan dengan menggunakan penyepit makanan disaksikan ribuan pengguna media sosial.

Menerusi laporan media tempatan, bagaimanapun, di sebalik kecomelan kanak-kanak yang dikenali sebagai Haihai itu tersimpan satu rahsia yang meruntun jiwa.

Baru-baru ini, ibu bapa Haihai mendedahkan kanak-kanak itu bertarung menentang kanser darah dan terpaksa melalui beberapa rawatan yang menyakitkan.

“Haihai sentiasa tenang ketika darahnya diambil atau dicucuk dengan jarum suntikan tetapi dia takut serta menangis ketika menjalani prosedur mengambil air tulang belakang,” kata ibunya.

Haihai
Haihai

Menurutnya, Haihai menjalani lebih 30 kali prosedur berkenaan.

“Jarum yang menusuk tubuh kecilnya turut menusuk hati saya. Kesakitan yang dialaminya sukar digambarkan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Lebih menyedihkan lagi, ibunya menjaga Haihai seorang diri kerana bapanya terpaksa pulang ke kampung untuk menjaga ibunya yang juga menghidap kanser payudara. Disebabkan itu, Haihai terpaksa belajar berdikari termasuk makan sendiri.

Haihai dan ibunya kini pergi ke Beijing untuk merawat kanak-kanak itu dan mereka sudah membelanjakan lebih 700,000 yuan (RM423,564) untuk rawatan di sebuah hospital.

Kerana kos rawatan yang tinggi ibu bapa Haihai terpaksa meminjam wang daripada keluarga dan rakan-rakan.

Selepas kisah Haihai didedahkan, ribuan pengguna media sosial melahirkan rasa simpati dan menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak itu.

Selain menerima bantuan kewangan, pengguna media sosial turut menghantar pakaian, makanan dan hadiah permainan kepada kanak-kanak itu sebagai tanda sokongan.

Foto: South China Morning Post