472 kawasan di Selangor alami gangguan bekalan air

Lima wilayah di Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air berikutan henti tugas sementara LRA Semenyih dan LRA Bukit Tampoi akibat pencemaran. - Foto Bernama
Lima wilayah di Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air berikutan henti tugas sementara LRA Semenyih dan LRA Bukit Tampoi akibat pencemaran. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 3 petang pada Selasa.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataannya memaklumkan, lima wilayah terjejas ialah 172 kawasan di Petaling, Hulu Langat (54), Sepang (196), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (27).

Menurut kenyataan itu, gangguan berlaku berikutan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Sungai (LRA) Semenyih pada jam 6.15 pagi dan LRA Bukit Tampoi pada jam 11.30 pagi pada Selasa.

"Henti tugas LRA Semenyih dan LRA Bukit Tampoi berikutan insiden pencemaran dikesan di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, Air Selangor.

"Bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal," kata kenyataan itu di Facebook pada Selasa.

Sehubungan itu, kenyataan itu memberitahu, Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna terjejas.

"Pengguna di kawasan terjejas dinasihatkan untuk menyimpan air secukupnya sehingga bekalan air dapat disalurkan," jelas kenyataan itu.