Keadaan Abdul Khalid agak membimbangkan

Foto Abdul Khalid (tengah) bersama keluarganya yang dikongsi di Facebooknya pada Disember tahun lalu.
Foto Abdul Khalid (tengah) bersama keluarganya yang dikongsi di Facebooknya pada Disember tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Keadaan kesihatan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kembali stabil selepas dimasukkan ke hospital swasta baru-baru ini akibat jangkitan paru-paru.

Bagaimanapun, pentadbir Facebook rasmi beliau memaklumkan keadaan Abdul Khalid masih agak membimbangkan.

Menurut hantaran di Facebook beliau, para pegawai Abdul Khalid juga mula menziarahinya di hospital tersebut bermula Sabtu.

"Meskipun (keadaan kesihatan Abdul Khalid) stabil, kami merasakan keadaan beliau agak membimbangkan.

"Kami pohon agar rakan-rakan semua mendoakan agar kesihatan beliau pulih seperti sediakala serta segala urusan perubatannya dipermudahkan ALLAH SWT," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Abdul Khalid pernah menyandang jawatan Menteri Besar Selangor selama enam tahun bermula 13 Mac 2008 hingga 22 September 2014.

Namun, beliau dipecat sebagai Menteri Besar Selangor oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum jawatan itu digantikan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebelum menyandang jawatan menteri besar, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysianized Guthrie yang kini dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Bhd dari 1995 hingga 2003.