LRA Sungai Semenyih tercemar: Bekalan air dijangka pulih petang ini

LUAS menerima laporan berhubung pencemaran bau seakan diesel di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih (Jenderam Hilir) pada jam 12.30 tengah hari Sabtu. Gambar kecil: Ir Izham
LUAS menerima laporan berhubung pencemaran bau seakan diesel di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih (Jenderam Hilir) pada jam 12.30 tengah hari Sabtu. Gambar kecil: Ir Izham
A
A
A

SHAH ALAM - Bekalan air di kawasan terjejas akibat pencemaran bau di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih (Jenderam Hilir) dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 3 petang Ahad.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, bekalan air mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna bermula jam 12.15 tengah malam Ahad.

Menurutnya, pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas mencapai tahap 48 peratus setakat jam 6 pagi pada hari yang sama.

"Bantuan alternatif melalui lori tangki masih digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal.

"Air Selangor (Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd) sedang mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna terjejas," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Ir Izham berkata, kerajaan Selangor mengarahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk mempertingkatkan pemantauan selama 24 jam di kawasan-kawasan sensitif dan titik panas pencemaran di sepanjang lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat.

Katanya, bukan sahaja perlu dilakukan lebih kerap di kawasan-kawasan berkenaan, bahkan ia turut diperluaskan untuk mengambil kira kawasan-kawasan dalam radius yang lebih luas dari kawasan sekitar LRA berkenaan.

"Kerajaan Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan Enakmen LUAS 1999.

"Kerajaan Selangor meminta kepada semua agar prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada LUAS untuk tindakan segera," katanya.

Pada Sabtu, LUAS menerima laporan berhubung pencemaran bau seakan diesel di muka sauk LRA Sungai Semenyih (Jenderam Hilir) pada jam 12.30 tengah hari.

LUAS melalui kenyataan di Facebook pada Sabtu memaklumkan, pencemaran itu dilaporkan Air Selangor pada jam 12.30 tengah hari.