Sukan SEA: Azeem galas tanggungjawab pertahan emas 100 meter

Muhammad Azeem
Muhammad Azeem
A
A
A

PELARI muda sensasi Malaysia Muhammad Azeem Fahmi bakal menggalas tanggungjawab besar mempertahankan gelaran Raja Pecut Sukan SEA, bersama Muhammad Arsyad Md Saat di Hanoi.

Ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, atlet berusia 18 tahun yang dikenali dengan jolokan Usain Bolt Malaysia, dipilih menggantikan Russel Alexander Nasir Taib pada Sukan SEA ke-31 bermula 12-23 Mei ini.

Russel Alexander, pemegang rekod kebangsaan acara 200 meter (m) lelaki (20.77 saat (s)), mempunyai catatan peribadi terbaik 10.42s (2019) bagi acara 100m, sebelum ini dipilih berdasarkan pencapaian terbaiknya bagi tahun ini, iaitu 10.50s pada Januari lalu di Brisbane.

Mohd Manshahar berkata pihaknya telah dimaklumkan bahawa Russel Alexander yang berpangkalan di Australia, mengalami kecederaan ‘soft tissue’ menerusi emel baru-baru ini, tetapi masih belum mendapat perinciannya.

Ia menyaksikan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) secara kolektif, mengambil keputusan untuk menggantikannya dengan Muhammad Azeem bagi acara 100m, manakala Muhammad Arsyad, 19, mengambil tempatnya bagi acara 200m bersama Jonathan Nyepa.

"Pemilihan ini dibuat berdasarkan prestasi semasa, iaitu catatan peribadi terbaik yang paling dekat dengan Sukan SEA (Kejohanan Kuala Lumpur Allcomers). Jadi Muhammad Azeem mencatatkan 10.37s untuk 100m pada 26 Mac, manakala Muhammad Arsyad mencatatkan 21.25s (bagi 200m) pada hari berikutnya.

"Walaupun kita hantar atlet muda, pencapaian mereka tidak boleh dinafikan. Bagi acara pecut ini, persaingannya sangat sengit, jadi peluang itu terbuka, bergantung kepada keadaan semasa pertandingan,” katanya ketika dihubungi.

Mengikut pencapaian semasa, Lalu Muhammad Zohri (10.03s) dari Indonesia dan Puripol Boonson (10.19s) dari Thailand dilihat sebagai pilihan untuk merebut gelaran Raja Pecut Asia Tenggara kali ini.

Malaysia berjaya menguasai acara riben biru bagi dua edisi Sukan SEA secara berturut-turut menerusi Khairul Hafiz Jantan (10.38s) pada Kuala Lumpur 2017 dan Muhammad Haiqal Hanafi (10.35s) di Filipina dua tahun selepas itu.

Bagi acara 4x100m lelaki pula, Mohd Manshahar berkata, skuad negara dibarisi oleh Muhammad Azeem, Muhammad Arsyad, Jonathan, Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Zulfiqar Ismail, dengan pihak jurulatih dijangka akan memilih barisan terbaik dalam masa terdekat.

"KOM dalam proses untuk menghantar permohonan pertukaran nama kepada penganjur menerusi Majlis Olimpik Malaysia, dan biasanya tiada masalah untuk tukar jika disokong dengan laporan perubatan. Namun, kita masih perlu menunggu makluman rasmi,” tambahnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pengumuman Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bahawa skuad olahraga diletakkan harapan sebagai lubuk emas negara dengan jangkaan lebih lima pingat emas, Mohd Manshahar berkata ia sasaran yang mampu dicapai.

"Kita memang rasa lima emas mampu dicapai berdasarkan pencapaian semasa atlet kita dan perbandingan antara negara-negara bertanding, jika dapat lebih adalah bonus. Dengan kekuatan 32 atlet beraksi dalam 29 daripada 47 acara yang dipertandingkan, saya rasa ia munasabah,” jelasnya. - Bernama