Tubuh suruhanjaya siasat AKSB

Husam - Foto: Sinar Harian
Husam - Foto: Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Sekretariat Save Kelantan mencadangkan penubuhan satu suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan kegagalan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berkaitan air mengalami tekanan rendah ketika kejadian kebakaran yang memusnahkan sembilan rumah di Berek 12, Khamis lalu.

Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, kejadian itu mengakibatkan kemusnahan teruk rumah rumah mangsa.

“Tekanan rendah boleh berlaku apabila bekalan air tidak mencukupi menyebabkan kesukaran kerja-kerja menyelamat.

“Penduduk sekitar juga dikatakan mengalami gangguan bekalan air beberapa hari sebelum kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, kajian diperlukan bagi mengenal pasti punca AKSB yang didakwa gagal menyediakan bekalan mencukupi kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Selain kekerapan masalah ketiadaan air, rungutan berbangkit juga mengenai kualiti air yang didakwa sangat mendukacitakan.

“Saya katakan, antara punca utama kegagalan dipercayai unsur salah guna kuasa dan saya sendiri pernah menang saman sekali gus membuktikan dakwaan saya ada asas,” katanya.

Ujarnya, sekiranya punca kegagalan terbesar ialah ada unsur salah guna kuasa, maka jawapan tepat bagi mencari punca kegagalan ialah menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas.

“Jika kerajaan Kelantan sanggup menubuhkan suruhanjaya ini, anggotanya akan dipandang rakyat sebagai benar-benar bebas dan berintegriti dan jujur.

“Jika mereka enggan, maka dipercayai ada perkara yang menjadi kerahsiaan gerak kerja mereka selama ini,” katanya.