'Nurul Izzah aset negara'

Hassan
Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim menyifatkan keputusan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang mahu berundur daripada kancah politik negara penggal akan datang adalah satu kerugian.

Menurutnya, pengalaman tiga penggal sebagai Ahli Parlimen yang disandang 'Puteri Reformasi' itu juga adalah satu kehilangan besar buat parti dan juga negara.

“Beliau (Nurul Izzah) sudah tiga penggal menjadi Ahli Parlimen. Pengalamannya luas di Parlimen. Begitu juga dalam parti PKR setelah memegang jawatan Naib Presiden yang terkanan untuk lebih dua penggal.

“Pengalaman luas yang cukup bermakna itu boleh menjadikan beliau seorang pemimpin yang baik. Bagi saya Nurul Izzah adalah satu aset kepada Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Hassan berkata, melihat kepada perubahan politik yang sedang berlaku kini, sememangnya Malaysia amat memerlukan ahli politik yang ada kredibiliti tersendiri.

“Beliau mempunyai wawasan reformasi, berintegriti dan punya pegangan prinsip yang tidak boleh dijual beli. Nurul Izzah ada ciri-ciri ini,” katanya.

Sehubungan itu, Hassan yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang itu turut merayu agar Nurul Izzah memikirkan semula keputusannya selain kembali menyiapkan diri untuk terus bertanding dalam PRU akan datang.

“Saya mohon Nurul Izzah terus bersedia untuk menjadi calon dalam PRU15. Negara kita yang berbilang kaum, agama dan budaya amat memerlukan pemimpin yang berwawasan, berintegriti dan berprinsip seperti beliau.

Artikel Berkaitan:

“Jadi saya memohon supaya Nurul Izzah yang memanggil saya dengan panggilan Pak Hassan dapat mendengar rayuan yang dibuat ini,” katanya.

Terdahulu, Nurul Izzah mendedahkan hasratnya untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat untuk tempoh sepenggal sahaja.

Menurut laporan yang dipetik daripada Straits Times Singapura, anak perempuan sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu kecewa dengan pentadbiran PH yang dilihat terlalu perlahan untuk melaksanakan perubahan asar dan reformasi.

“Saya katakan bahawa ini adalah penggal saya yang terakhir. Ini rancangan saya sekarang," katanya.

Sebelum itu, Nurul Izzah turut mengambil keputusan mengejutkan apabila meletakkan jawatannya sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

ARTIKEL BERKAITAN Ini penggal terakhir saya jadi Ahli Parlimen - Nurul Izzah