BNM umum lima pemohon dapat lesen bank digital

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BANK Negara Malaysia (BNM) mengumumkan lima pemohon yang berjaya mendapatkan lesen bank digital diluluskan oleh Menteri Kewangan Malaysia.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, BNM berkata, tiga pemohon dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) ialah Konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Berhad, Konsortium diterajui GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd serta Konsortium diterajui Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd.

Manakala dua pemohon yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI) pula ialah Konsortium AEON Financial Service Co. Ltd., AEON Credit Service (M) Berhad dan MoneyLion Inc dan Konsortium diterajui KAF Investment Bank Sdn Bhd.

"Tiga daripada lima konsortium ini dimiliki secara majoriti oleh warga Malaysia iaitu Boost Holdings dan RHB Bank Berhad, Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd dan KAF Investment Sdn Bhd.

"Kesemua 29 pemohonan yang diterima telah dinilai secara menyeluruh mengikut seksyen 10 (1) APK dan APKI1 yang menghendaki BNM mengambil kira semua faktor dalam Jadual 5 Akta-akta tersebut dan keperluan dasar lain yang berkaitan," menurut kenyataan itu.

BNM memaklumkan prosedur tadbir urus dan pertimbangan yang rapi dilaksanakan sepanjang proses penilaian bagi memastikan penilaian yang mantap, objektif dan konsisten bagi semua 29 permohonan yang diterima.

"Penilaian yang dilaksanakan melalui empat tahap yang disokong oleh satu pasukan teknikal bersilang fungsi, satu pasukan yang menyemak permohonan dan pemerhati bebas dalaman daripada jabatan risiko dan jabatan undang-undang BNM.

"Syor muktamad kepada Menteri Kewangan telah dibincangkan dan disahkan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Pengurusan BNM," ujar kenyataan itu lagi.

BNM berkata, kriteria penilaian merangkumi kewibawaan dan integriti pemohon, bentuk dan kecukupan sumber kewangan, kekukuhan dan kebolehlaksanaan pelan perniagaan dan teknologi serta keupayaan untuk menangani jurang rangkuman kewangan secara berkesan.

Jelasnya, permohonan dinilai mengikut merit pemohon serta perbandingan yang dibuat dengan permohonan lain berdasarkan penilaian yang konsisten bagi setiap kriteria penilaian.

"Semakan mendatar dilaksanakan berdasarkan kriteria penilaian yang digunakan terhadap semua pemohon bagi menentukan kekukuhan relatif setiap permohonan dan mengenal pasti pemohon yang berjaya," katanya.

Dalam pada itu, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, bank digital dijangka dapat meningkatkan lagi rangkuman kewangan.

"Melalui penerapan teknologi digital secara lebih meluas untuk transaksi harian, kami dapat memberikan lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mengambil bahagian dalam kegiatan ekonomi dengan mengatasi halangan geografi, mengurangkan kos transaksi dan menggalakkan pengurusan kewangan yang lebih baik.

“Bank digital boleh membantu individu dan perniagaan mendapatkan akses yang lebih baik kepada penyelesaian yang lebih khusus berteraskan analisis data.

"Apabila perniagaan dilakukan secara dalam talian, perbankan digital turut menyediakan cara membuat transaksi yang lebih selamat dan mudah,” ujar beliau.

Susulan pengumuman itu, pemohon yang berjaya akan melalui tempoh persediaan dari segi operasi yang akan disahkan oleh BNM melalui audit sebelum pemohon boleh memulakan operasi.

Proses berkenaan mungkin mengambil masa antara 12 hingga 24 bulan.

Menurut BNM, sejajar dengan lima teras strategik yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026, bank pusat itu akan terus bekerjasama dengan industri kewangan dan 'fintech' serta pihak berkepentingan berkaitan untuk terus meningkatkan akses perkhidmatan kewangan di seluruh negara dan merentas semua segmen masyarakat.