Khemah besar: Perbincangan Bersatu, Pas boleh dibuat peringkat negeri

Salahuddin (tiga dari kanan) mengedarkan sumbangan makanan kepada anggota polis ketika Program Jelajah Singgah Sahur di pejabat Polis Marin di Tampoi, Johor Bahru pada Jumaat.
Salahuddin (tiga dari kanan) mengedarkan sumbangan makanan kepada anggota polis ketika Program Jelajah Singgah Sahur di pejabat Polis Marin di Tampoi, Johor Bahru pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perbincangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas menyertai 'khemah besar' boleh dilakukan di peringkat negeri terutama di negeri yang kedua-dua parti itu menjadi pembangkang seperti di Johor dan Melaka.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berpendapat, perbincangan itu atas kapasiti Bersatu dan Pas sebagai parti pembangkang di negeri terbabit dan ini berbeza dengan kedudukan mereka di peringkat Pusat yang menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.

"Mesti faham mengapa saya seru kepada perbincangan dengan kesemua pihak (termasuk Bersatu dan Pas) adalah kerana ada senario baharu yang kita saksikan ketika ini.

"Bersatu dan Pas ini, mereka adalah kerajaan di peringkat 'federal', tetapi setelah berlaku beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN), mereka sudah jadi pembangkang, jadi saya melihat isu ini perlu kepada suatu perbincangan.

"Konsep khemah besar itu seperti yang kita putuskan dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu sesiapa nak masuk selain daripada barisan pembangkang di peringkat 'federal', ia perlukan keputusan Majlis Presiden PH," katanya.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata demikian kepada pemberita dalam Program Jelajah Singgah Sahur anjuran Pejabat Parlimen Pulai dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Jumaat.

Mengenai kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan pihaknya sedia untuk mengadakan perbincangan menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik, Salahuddin berkata, tawaran tersebut dibuat kemungkinan kerana bekas Perdana Menteri itu melihat ada keperluan bagi perkara berkenaan.

"Saya rasa dia (Muhyiddin) bercakap mungkin kerana melihat kepada keperluan dalam pilihan raya umum akan datang, tetapi apa pun pandangan dia, kita boleh dengar dahulu, namun keputusan tetap di peringkat atasan (PH).

"Ketika ini, kita belum memulakan sebarang perbincangan secara rasmi, jadi 'why not' kita duduk, cakap-cakap dahulu apa salahnya, di peringkat negeri mereka sudah jadi pembangkang," katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu sebelum ini menyatakan kesediaan pihaknya untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik pada PRU15.