Mercun: Hendak beraya dalam lokap atau hospital?

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Meskipun beberapa siri serbuan dan rampasan melibatkan mercun dibuat oleh pihak berkuasa ia bagaimanapun tidak menghalang orang ramai untuk mendapatkan bahan terlarang itu.

Pada 15 April lalu kita dikejutkan dengan berita seorang remaja lelaki berusia 14 tahun putus tiga jari tangan kanan selepas terkena mercun bola dalam kejadian di Kampung Lembah Beris Kubur Besar di Tawang, Bachok.

Dalam kejadian itu mangsa dikatakan tidak sempat membaling mercun tersebut sehingga menyebabkan ia meletup di tangan kanannya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat mengakui terdapat peningkatan kes membabitkan rampasan mercun dan bunga api yang dibawa masuk dari negara jiran melalui laluan haram di sempadan.

Shafien berkata sepanjang awal Ramadan lalu, polis Kelantan merekodkan 10 kes rampasan mercun dan bunga api dengan nilai hampir RM500,000.

Difahamkan keadaan ini berlaku disebabkan bahan terlarang itu mendapat permintaan tinggi di negara ini berdasarkan tangkapan dan rampasan yang dibuat di seluruh negara.

Buktinya sebelum menjelangnya Ramadan, dua buah rumah yang dijadikan stor simpanan mercun di Kepong dan Petaling Jaya diserbu oleh sepasukan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Dalam serbuan itu, sebanyak 1,059 kotak mercun dan 35 guni berisi mercun dianggarkan bernilai RM4.17 juta selain wang tunai berjumlah RM12,900 dan enam telefon bimbit pelbagai jenama.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, seramai lima lelaki berusia 21 hingga 51 tahun turut ditahan.

Siasatan awal mendapati kegiatan penyimpanan di kawasan perindustrian dan rumah teres dua tingkat dilakukan sejak dua tahun lalu.

Pada 18 April lalu pula, Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan empat lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia selain merampas pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai lebih RM500,000.

Suspek ditahan di lokasi berasingan, iaitu di Taman Pertama Indah, Sungai Abong di Muar dan di Taman Bukit Kempas, Johor.

Apapun alasannya, menyimpan atau menjual mercun adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.

Justeru, jangan jadikan lebaran kali ini sebagai tragedi yang bukan sahaja boleh menyebabkan kita beraya dalam lokap ataupun hospital dek kerana terlalu ghairah dengan mercun.