Siasat komplot mahu jatuhkan badan kehakiman negara: Salahuddin

Salahuddin (kiri) dan wakil Amanah Johor, Onn Jaafar membuat laporan supaya siasatan dilakukan terhadap komplot mahu mencemarkan sistem kehakiman negara, di IPD Johor Bahru Selatan, Larkin, Johor Bahru, pada Kkamis.
Salahuddin (kiri) dan wakil Amanah Johor, Onn Jaafar membuat laporan supaya siasatan dilakukan terhadap komplot mahu mencemarkan sistem kehakiman negara, di IPD Johor Bahru Selatan, Larkin, Johor Bahru, pada Kkamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa polis memulakan siasatan berhubung dakwaan terdapat komplot yang mahu menjatuhkan badan kehakiman negara, susulan siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub mendakwa, terdapat usaha yang dilakukan pihak tertentu dalam cubaan untuk menghina sistem kehakiman Malaysia.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, jelas terdapat satu perancangan besar di sebalik dakwaan terhadap Mohd Nazlan sekali gus mereka mengambil kesempatan itu untuk mencemarkan institusi kehakiman negara.

"Adalah ironis bahawa seorang hakim yang berintegriti dan menjalankan tanggungjawabnya dengan baik telah dikaitkan dengan dakwaan melakukan salah laku dan menimbulkan keresahan orang ramai.

"Ini amat berbahaya dan sebab itu wakil parti Amanah membuat laporan polis di semua negeri supaya siasatan dapat dijalankan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Baru Utara di sini pada Khamis.

Salahuddin juga menggesa polis menyiasat pihak yang bertanggungjawab membangkitkan kebencian terhadap Mohd Nazlan dan badan kehakiman negara.

"Kami (Amanah) akan membuat susulan dengan pihak berkuasa mengenai tindakan seterusnya selepas siasatan mereka.

"Apa yang penting ialah kita perlu membuka mata orang ramai tentang usaha pihak berkenaan untuk mengganggu kehakiman negara," katanya.

Pada 20 April lalu, Blogger Raja Petra Kamarudin mendakwa Mohd Nazlan disiasat berhubung terpalit konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Raja Petra dalam portalnya Malaysia Today, Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaunnya.

Pada 21 April, Mohd Nazlan membuat laporan polis berhubung satu artikel mendakwa beliau sedang disiasat kerana wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Mohd Nazlan adalah hakim perbicaraan yang mensabitkan kesalahan terhadap Najib berhubung kes SRC International, pada 28 Julai 2020.