Peruntukan kecemasan akan disalurkan segera: Arthur

Laporan Sinar Harian hari ini.
Laporan Sinar Harian hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup sedia maklum dengan kerosakan akibat banjir besar yang melanda di kawasan Nabawan sehingga jambatan gantung yang digunakan murid terputus.

Katanya, perkara itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mendapatkan peruntukan kecemasan.

"Saya sedia maklum dengan situasi ini, iaitu kerosakan yang dialami adalah akibat banjir besar yang berlaku-baru ini.

"Saya telah bertemu dengan Perdana Menteri bagi memaklumkan masalah ini dan beliau bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan kecemasan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau berkata, sepasukan pegawai teknikal dari Unit Penyelaras Pelaksana serta Pejabat Daerah juga telah melawat kawasan terbabit dua hari lalu.

"Kini sudah mula menyediakan laporan yang diperlukan," katanya.

Difahamkan, Arthur yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya akan bertemu dengan penduduk kampung bagi membincangkan penyediaan pengangkutan lebih selamat kepada murid berkenaan.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan kira-kira 50 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nangkawangan dan SK Layon, Nabawan, terpaksa bergadai nyawa dengan menyeberang sungai menggunakan rakit atau 'zip line' untuk ke sekolah sejak dua bulan lalu.

Keadaan itu berlaku susulan jambatan gantung yang menjadi penghubung utama penduduk terutama murid sekolah putus akibat dilanda banjir pada Mac lalu.