Jawatankuasa lalu lintas laksana strategi, elak Kuala Pilah sesak

Jawatankuasa Pengurusan Lalu Lintas Daerah Kuala Pilah menetapkan beberapa inisiatif pengurusan lalu lintas yang dilaksanakan bermula 28 April hingga 8 Mei ini di sepanjang jalan Kuala Pilah - Seremban. - Foto MDKP
Jawatankuasa Pengurusan Lalu Lintas Daerah Kuala Pilah menetapkan beberapa inisiatif pengurusan lalu lintas yang dilaksanakan bermula 28 April hingga 8 Mei ini di sepanjang jalan Kuala Pilah - Seremban. - Foto MDKP
A
A
A

KUALA PILAH - Jawatankuasa Pengurusan Lalu Lintas Daerah Kuala Pilah menetapkan beberapa strategi serta inisiatif pengurusan lalu lintas yang akan dilaksanakan bermula 28 April hingga 8 Mei ini di sepanjang jalan Kuala Pilah - Seremban.

Yang Dipertua Majlis daerah Kuala Pilah (MDKP), Mohd Faizal Abdul Manap berkata, pelaksanaan pelan itu bagi memastikan kelancaran lalu lintas di sepanjang laluan Kuala Pilah - Seremban.

Menurutnya, strategi dan inisiatif itu adalah penutupan lampu isyarat di sepanjang Jalan Kuala Pilah - Seremban bermula persimpangan Ampang Tinggi hingga persimpangan hadapan Pasaraya Giant Kuala Pilah.

"Penutupan lampu isyarat persimpangan Ampang Tinggi akan menyebabkan pengguna jalan raya dari arah Jalan Seremban Lama yang ingin menghala ke Seremban perlu membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat di hadapan Pasaraya Giant Kuala Pilah.

"Ia berikutan lorong menghala ke Seremban akan ditutup bagi melancarkan aliran trafik," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Faizal berkata, penutupan persimpangan masuk ke kawasan Kuala Pilah akan meliputi persimpangan Jalan Undang Johol - Jalan Perpateh dan persimpangan Jalan Dato’ Undang Johol - Jalan Dato’ Abdul Manap.

"Persimpangan Jalan Dato’ Undang Johol - Jalan Ulu Muar pula dibuka dan hanya akan ditutup sekiranya berlaku kesesakan teruk di dalam kawasan Bandar Kuala Pilah.

"Bagi pengguna jalan raya yang ingin memasuki kawasan Kuala Pilah dari arah Jempol, mereka perlu melalui lorong bersebelahan bank RHB Kuala Pilah atau melalui Taman Rekreasi Jalan Bukit seterusnya melalui Jalan Perpateh," katanya.

Beliau berkata, sebarang pertanyaan dan aduan berkaitan keputusan ini boleh berhubung terus dengan pihak MDKP di laman sosial Facebook Info Trafik Rasmi Kuala Pilah - Seremban, Majlis Daerah Kuala Pilah dan Twitter @Infotrafik_KP, @MDKP1.

"Selain itu, orang ramai boleh menghubungi talian Info Trafik Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah di 06-4842999 bagi perkongsian atau pertanyaan sebarang maklumat berkaitan keadaan trafik.

"Semoga dengan usaha yang telah dirangka dan dilaksanakan ini akan mengurangkan serta mengawal kesesakan lalu lintas ketika musim perayaan di daerah Kuala Pilah," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohd Faizal berkata, rakyat Kuala Pilah kini boleh menikmati perkhidmatan WiFi percuma di Medan Malam atau Bus Stand Pilah di sini bermula Selasa.

"Perkhidmatan WiFi Zone MDKP percuma itu merupakan usaha dalam memperkasa dan merancakkan sosio ekonomi serta pelancongan setempat.

"Ini merupakan salah satu Inisiatif Smart City MDKP sekali gus mewujudkan suasana santai di Medan Malam," katanya.