Premis jual arak haram warga asing kena sita

MBSJ menyita dan menutup empat premis perniagaan dijalankan warga asing di sekitar Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya di sini.
MBSJ menyita dan menutup empat premis perniagaan dijalankan warga asing di sekitar Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya di sini.
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyita dan menutup empat premis perniagaan dijalankan warga asing di sekitar Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya di sini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, antaranya premis penjualan arak secara haram yang diusahakan peniaga warga asing.

Menurutnya, selain itu, MBSJ turut mengeluarkan 26 Notis Tawaran Kompaun (NTK) sepanjang operasi yang dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Operasi ini bermula jam 3 petang hingga 5 petang pada Selasa dengan kekuatan seramai 39 anggota termasuk pegawai Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan MBSJ serta 11 anggota penguatkuasa KPDNHEP.

"Turut menyertai operasi ialah Datuk Bandar MBSJ, Datuk Johary Anuar dan timbalannya, Mohd Zulkumain Che All," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, katanya, KPDNHEP turut mengeluarkan kompaun RM300 kepada seorang pemilik kedai runcit kerana gagal menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal iaitu telur ayam gred A/B/C di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Azfarizal menambah, pemantauan berkala akan terus dijalankan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak didapati melanggar peraturan dan syarat ditetapkan.