Hajat lihat anak miliki rumah sebelum Syawal tercapai

Zalinah (empat dari kiri) menerima replika kunci daripada Hee Sem ketika majlis penyerahan kunci di Kampung Tersusun Melaka Pindah pada Khamis.
Zalinah (empat dari kiri) menerima replika kunci daripada Hee Sem ketika majlis penyerahan kunci di Kampung Tersusun Melaka Pindah pada Khamis.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang suri rumah dari Kampung Pengkalan Rama Pantai bersyukur apabila hasrat anak keduanya untuk memiliki kediaman sendiri sebelum umat Islam meraikan Syawal tercapai.

Ia susulan permohonan untuk membina rumah di bawah program Rumah Prihatin Melaka yang dilengkapi tiga bilik bernilai RM37,500 diluluskan.

Zalinah Mohd Yassin, 57, berkata, selama ini dia kasihan dan simpati melihat nasib anaknya, Muzzamil Hasan, 34, yang bukan sahaja tidak mempunyai pendapatan tetap malah belum memiliki kediaman sendiri.

Menurutnya, anak kedua daripada tiga beradik itu hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing di Kluang, Johor untuk menyara isteri dan dua anaknya yang masih bersekolah berusia lapan dan 12 tahun.

"Mak cik beli tanah ini dah lama dengan harga RM25,000 ketika itu, jadi atas persetujuan keluarga mak cik tolong mohon untuk anak.

"Namun tak sangka permohonan di Pejabat Daerah Melaka Tengah diluluskan cepat dan siap sepenuhnya dalam tempoh beberapa bulan sahaja," katanya.

Zalinah berkata demikian ketika mewakili anaknya pada majlis penyerahan kunci oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Baru, Ngwe Hee Sem di Kampung Tersusun Melaka Pindah di sini pada Khamis.

Menurutnya, sekurang-kurangnya kediaman baharu ini memberi keselesaan kepada anak, menantu dan cucu-cucunya lebih-lebih lagi menjelang hari raya.

"Selepas ini Muzzamil dan keluarganya akan berpindah ke Melaka dan mendiami rumah ini, jadi dia tak dibebani dengan kadar sewa rumah setiap bulan," katanya.

Sementara itu, Hee Sem berkata, keluarga tersebut bertuah kerana terpilih menerima rumah itu tanpa perlu mengeluarkan sebarang kos bagi kerja-kerja pembinaan rumah yang mula dilaksanakan sejak November tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya akan membantu permohonan lain untuk mendapat kediaman baharu terutama golongan B40 di bawah program seumpama ini.

"Mereka yang mempunyai tanah boleh memohon, namun kelulusan bergantung kepada kelayakan yang ditetapkan.

"Ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan rakyat negeri ini mendiami kediaman selesa," katanya.