Hukuman penjara terhadap Suu Kyi cetus kebimbangan: Saifuddin

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Saifuddin)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Saifuddin)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyuarakan kebimbangannya terhadap perkembangan terbaharu berhubung hukuman yang dijatuhi ke atas pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, 76, atas pertuduhan rasuah.

Menerusi ciapannya di Twitter beliau berkata, prinsip asas hak asasi manusia dan keadilan perlu dikekalkan dan dipatuhi di Myanmar.

Saifuddin turut berkongsi ciapan Nabila Massrali, jurucakap Kesatuan Eropah (EU) untuk Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan yang menulis: "Perbicaraan Aung San Suu Kyi bermotifkan politik, satu lagi tindakan yang menidakkan kedaulatan undang-undang dan betapa lemahnya demokrasi di Myanmar. EU menyeru agar semua pemimpin politik yang ditahan sewenang-wenangnya sejak rampasan kuasa dibebaskan".

Mahkamah junta di Myanmar pada Rabu, menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Suu Kyi atas dakwaan rasuah.

Beliau didapati bersalah menerima wang tunai dan emas daripada bekas Ketua Menteri Yangon, Phyo Min Thein, lapor Agensi Anadolu memetik laman sesawang Myanmar Now.

Thein mendakwa memberi Suu Kyi wang tunai AS$600,000 dan 11.4 kilogram emas "sebagai balasan untuk membantu perniagaannya." Suu Kyi menyifatkan tuduhan itu sebagai "tidak berasas."

Sejak Disember lepas, pemenang Nobel itu telah dijatuhi hukuman penjara sebanyak 11 tahun melibatkan beberapa kes.

Keputusan untuk 11 lagi pertuduhan masih belum selesai.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Suu Kyi telah digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada tahun lepas, selepas memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya November 2020.

Rampasan kuasa itu disusuli dengan bantahan besar-besaran yang menyaksikan junta melakukan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.

Sejak itu lebih 1,500 orang terbunuh, menurut sebuah kumpulan pemantau tempatan. - Bernama