Sapura Energy yakin pulih tanpa cari jalan mudah

Sapura Energy Bhd mencatatkan kerugian bersih luar biasa RM8.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 dan dijangka mengalami kerugian lebih besar bagi tahun kewangan semasa. Gambar kecil: Mohd Anuar
Sapura Energy Bhd mencatatkan kerugian bersih luar biasa RM8.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 dan dijangka mengalami kerugian lebih besar bagi tahun kewangan semasa. Gambar kecil: Mohd Anuar
A
A
A

SHAH ALAM - Sapura Energy Bhd melahirkan keyakinan untuk memulihkan syarikat itu tanpa mencari jalan mudah termasuk ‘bail out’ oleh mana-mana pihak.

Sapura Energy yang ketika ini menanggung hutang lebih RM10 bilion amat komited untuk melaksanakan penyelesaian secara menyeluruh melalui Pelan Reset yang dirangka untuk memulihkan syarikat walaupun ia dijangka amat mencabar.

Ini termasuk langkah penyusunan semula hutangnya dan penambahbaikan syarikat dari segi operasi seperti yang digariskan dalam Pelan Resetnya.

Memetik laporan temubual eksklusif Berita Harian, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Anuar Taib menegaskan pihaknya amat komited untuk melaksanakan pelan penyelesaian itu, termasuk menstruktur semula hutangnya secara menyeluruh tanpa mengambil jalan mudah.

Beliau berkata, antara pelan itu termasuk Skim Pengaturan (SOA) sebagai ikhtiar Sapura Energy untuk memastikan hutang dan bayaran tertunggak kepada pemiutang dapat diselesaikan secara saksama dan teratur.

SOA adalah proses undang-undang yang diperoleh melalui perintah mahkamah bagi membenarkan Sapura Energy menyusun semula hutangnya melalui rundingan dan persetujuan pemiutang.

Selain SOA katanya, mahkamah juga mengeluarkan Perintah Penyekatan (RO) untuk menghentikan atau menyekat sebarang tindakan undang-undang oleh mana-mana pihak terhadap Sapura Energy bagi memastikan rundingan dengan pemiutang berjalan lancar tanpa menjejaskan operasi syarikat.

"Apa yang kami perlukan ialah sokongan dan bantuan untuk menjayakan Pelan Reset kami.

“Jika Sapura Energy berjaya dipulihkan, ia akan memanfaatkan semua pemegang taruh dan mendukung ekonomi negara," jelasnya.

Mengulas mengenai Pelan Reset Sapura Energy, Anuar berkata, matlamatnya ialah untuk mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat dengan mengurangkan beban hutang dan memperbaiki aliran tunai.

Katanya, pelan itu juga bertujuan menyelaraskan model operasi dan memastikannya bersedia untuk menghadapi peralihan tenaga melalui pertumbuhan strategik.

Menurutnya, pelan itu sedang dilaksanakan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan di bawah kelolaan Lembaga Pengarah.

"Keutamaan syarikat sekarang ialah untuk mengharungi 2022. Kami mahu memastikan Sapura Energy dapat beroperasi dengan kedudukan kewangan yang stabil sebelum mampu bangkit semula.

“Inilah sebabnya skim SOA itu amat penting bagi kami kerana ia adalah mekanisme yang akan membantu kami menyelesaikan masalah bayaran tertunggak kepada vendor dan mengurangkan beban hutang bank.

"Selain skim SOA, kami juga berusaha untuk mengukuhkan kedudukan kewangan dengan mengurangkan aliran tunai dan membendung kerugian melalui rundingan semula kontrak yang dimenangi sebelum Covid-19," katanya.

Anuar menambah, Sapura Energy juga perlu mencari sumber dana baharu untuk modal kerjanya, memandangkan ia masih mempunyai tempahan kontrak bernilai RM8.1 bilion.

Beliau turut menganggarkan keperluan modal kerja antara RM1.5 bilion hingga RM1.8 bilion untuk tempoh jangka pendek.

Menurutnya, Sapura Energy akan menjual beberapa aset dan perniagaan syarikat yang dianggap tidak lagi strategik berdasarkan pelan perniagaannya, yang mana ia sejajar dengan objektif syarikat untuk kekal fokus dan cekap.

Anuar berkata, Sapura Energy juga akan menumpukan aktiviti syarikat kepada projek dan kontrak di Asia Pasifik dan Atlantik untuk memaksimumkan penggunaan aset strategik itu.

"Selain itu, kami juga menambah baik cara kami beroperasi bagi mengurangkan risiko dan mempertahankan margin keuntungan dalam projek yang kami laksanakan. Kami berpegang kepada prinsip - 'Bida dengan tepat, laksana dengan disiplin'.

"Ini bermula dengan memperhalusi proses pembidaan. Penyertaan tender hanya akan dilakukan selepas kami meneliti pengurusan risiko yang sesuai dengan kewajaran dan daya saing Sapura Energy.

"Pada masa sama, kami mengetatkan disiplin dalam pelaksanaan projek, bagi memastikan kontrak yang diamanahkan oleh pelanggan kami dilaksanakan dengan selamat, cekap dan berkesan," ujarnya.