Piala FA: Faisal harap pulih segera

Faisal - Foto Terengganu FC
Faisal - Foto Terengganu FC
A
A
A

PENYERANG Terengganu FC, Faisal Abdul Halim berharap mampu pulih secepat mungkin selepas mengalami kecederaan ketika aksi Liga Super berdepan Selangor FC, Jumaat lalu.

Katanya, kesakitan di bahagian paha kanan masih lagi dirasai dan belum pasti adakah dia mampu untuk beraksi dalam aksi tertunda pusingan pertama Piala FA menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan MIzan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat ini.

“Kecewa sebab saya baru sahaja menjaringkan gol dan tahap keyakinan saya dah bertambah selepas itu, memang semangat nak bermain.

“Tetapi bila cedera memang sedih, tidak mahu dikeluarkan sebenarnya tapi jurulatih (Nafuzi Zain) minta saya keluar juga sebab memang tak boleh nak teruskan dah.

Dah kena ‘harmstring’ macam ni, saya tak boleh nak cakap apa cuma harap tak teruk sangat,” katanya.

Kecederaan yang dialami Faisal berlaku selepas dia menjaringkan gol pada minit-20 nyata menghampakan penyerang kebangsaan ini kerana terpaksa dikeluarkan lebih awal.

TFC dan Negeri Sembilan akan berentap dalam perlawanan tertunda pusingan pertama Piala FA, menyaksikan pasukan yang menang akan menentang Kedah Darul Aman FC di pusingan kedua.