Jambatan Kedua Pulau Pinang tawar diskaun tol 30 peratus

Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Jambatan Kedua Pulau Pinang.
A
A
A

BATU KAWAN - Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) selaku pemegang konsesi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) menawarkan 30 peratus diskaun tol untuk pengguna semua kelas kenderaan yang menggunakan jambatan itu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

JKSB dalam kenyataannya berkata, pemberian diskaun itu akan bermula pada jam 12 tengah malam 30 April (Sabtu) sehingga jam 11.59 malam pada 1 Mei (Ahad).

"Pemberian diskaun juga akan diberikan bermula pada jam 12 tengah malam 7 Mei (Sabtu) sehingga jam 11.59 malam 8 Mei (Ahad). Inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan ini disokong oleh JKSB dalam usaha mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"JSAHMS merupakan pilihan untuk para pengguna keluar masuk dari atau ke bahagian pulau selain merupakan 'direct dual carriageway' yang menghubungkan secara terus Batu Kawan ke bahagian utama pulau.

"Ia juga menghubungkan Batu Kawan secara terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Para pengguna akan sampai ke kawasan berkenaan dengan lebih mudah tanpa perlu menempuh kesesakan yang serius," katanya pada Rabu.

Tambahnya, tidak dinafikan, JSAHMS terletak lebih jauh daripada mod lintasan yang lain, namun jika dipertimbangkan dari segi kesenangan para pengguna, JSAHMS merupakan alternatif terbaik.

"Jambatan ini mempunyai panjang 16.9 kilometer di atas laut, akses yang mudah untuk ke JSAHMS dari Batu Kawan atau Lebuh Raya Utara Selatan adalah dengan mengikuti susur keluar atau Exit 157: E28 Persimpangan JSAHMS," katanya.