Provokasi larangan azan: Pemilik akaun TikTok disiasat

Abd Jalil
Abd Jalil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemilik akaun TikTok disiasat selepas mengulas secara provokasi isu larangan laungan azan menggunakan pembesar suara di Pune, India kerana mungkin boleh menggugat ketenteraman kaum di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Abd Jalil turut mengesahkan kenyataan berhubung larangan laungan azan menggunakan pembesar suara itu bukan dikeluarkan di Malaysia.

"Arahan tersebut dibuat oleh Presiden Maharashtra Navnirman Sena (MNS), Raj Thackeray. Beliau turut mengarahkan membuang semua pembesar suara di masjid sebelum 3 Mei ini dan perkara itu dilaporkan dalam portal The New Indian Express pada 17 April lalu," ujarnya.

Abd Jalil berkata, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

"Kita turut menasihatkan orang ramai supaya prihatin terhadap isu yang menyentuh sensitiviti agama serta kaum.

"Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya.