ASP wanita buat 'live' TikTok ditukar ke Suksis UTM Johor

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI]Pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang tular selepas membuat rakaman video secara langsung di aplikasi TikToknya ketika serbuan di sebuah pusat hiburan ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

ASP Operasi Urusetia, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu ditukarkan ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Johor dengan menyandang tugas sebagai ASP Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor.

Pertukaran pegawai polis wanita itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain.

"Pegawai itu telah ditukarkan ke IPK Johor dan perlu melaporkan diri pada penghujung Mei depan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, rakaman di media sosial dengan mengenakan pakaian uniform pasukan adalah tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran jabatan atas urusan rasmi sahaja.

"Arahan secara dalaman berhubung penggunaan sosial media telah dikeluarkan sejak 2014.

"Dalam keadaan apa sekali pun, tidak dibenarkan membuat rakaman di sosial media ketika beruniform kerana ia melibatkan imej pasukan lebih-lebih lagi sekiranya rakaman yang dibuat adalah untuk kepentingan peribadi.

"Tindakan sedemikian jelas menyebabkan organisasi pasukan (PDRM) terjejas. Diingatkan seluruh warga PDRM untuk patuh dan tidak mengambil kesempatan dengan beruniform polis," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, kawalan kendiri adalah dituntut dari segenap warga polis untuk memastikan imej pasukan kekal terjaga dan tidak terjejas ekoran kes-kes tular di media sosial oleh perlakuan dan perbuatan mahu pun percakapan yang menjelekkan serta tidak bertanggungjawab oleh individu yang memakai pakaian seragam pasukan.

Menerusi video yang tular, pegawai polis wanita berpakaian jaket seragam operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikecam selepas membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa serbuan di sebuah pusat hiburan baru-baru ini.

Video itu turut dipersoalkan orang ramai kerana perbuatan pegawai tersebut yang disifatkan mengejar populariti.

Susulan itu, pada Isnin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, perbuatan pegawai polis wanita itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) serta Tatacara yang ditetapkan PDRM.