Perodua sasar Aruz jadi SUV terlaris di Malaysia Timur


Zainal Abidin (tengah) bersama peserta konvoi, pengurusan dan kakitangan Perodua PSSB Kuching 1 pada acara perbarisan Konvoi Perodua Aruz TransBorneo baru-baru ini.
Zainal Abidin (tengah) bersama peserta konvoi, pengurusan dan kakitangan Perodua PSSB Kuching 1 pada acara perbarisan Konvoi Perodua Aruz TransBorneo baru-baru ini.
A
A
A

PERODUA menyasarkan SUV tujuh tempat duduk baharu, Perodua Aruz, akan menjadi SUV terlaris di Malaysia Timur, yang mana pasarannya didominasi oleh segmen tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua menyasarkan untuk mengembangkan lagi bahagian pasaran Malaysia Timur daripada 40% pada masa ini dan Perodua Aruz baharu akan menerajui perkembangan tersebut di wilayah ini.

Baru-baru ini bertempat di Cawangan Perodua Kuching 1, Zainal telah menyempurnakan acara pelepasan Konvoi Perodua Aruz TransBorneo, di mana enam unit Perodua Aruz telah memulakan penjelajahannya dari Kuching, Sarawak ke Tawau, Sabah dengan jarak keseluruhan kira-kira 1,500 km bermula dari 16 hingga 22 Mac.

Di sepanjang penjelajahan, pasukan konvoi berhenti singgah di bandar-bandar utama termasuk Sibu, Bintulu, Miri, Kota Kinabalu, Ranau dan Sandakan untuk bertemu dengan komuniti dan pihak berkuasa tempatan bagi memperkenalkan serta memberi pengalaman pemanduan SUV baharu Perodua kepada mereka.

“Saya dengan berbesar hati ingin mengumumkan bahawa sejak pelancaran Perodua Aruz pada Januari lalu, lebih 4,000 unit telah diserahkan kepada pemiliknya daripada 14,000 tempahan di seluruh negara setakat ini.

“Sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Malaysia telah mendorong kami untuk bekerja dengan lebih keras dalam memperbaiki tempoh masa penghantaran dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa ketinggian 220 mm dari aras tanah memberikan Perodua Aruz penglihatan keseluruhan yang baik buat pemandu, di samping itu menawarkan pemanduan yang selesa dan kemampuan merentasi keadaan jalan yang lasak atau berlopak dengan mudah.

Tambahan lagi, struktur body-on-frame menjadikan ia sangat tahan lama dan mampu menampung beban. Tujuh tempat duduknya boleh dilaraskan dalam pelbagai cara untuk disesuaikan dengan gaya hidup pemilik.

Artikel Berkaitan:

Turut ditawarkan, enam beg udara dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) yang standard pada semua varian, ditambah juga Advanced Safety Assist 2.0 pada varian AV, menjadikan Perodua Aruz model yang diperakui dengan penarafan keselamatan 5-bintang ASEAN NCAP.