Jawi Food Bank terima sumbangan RM100,000 dari Kedutaan China

Yujing (kiri) menyerahkan replika cek sumbangan kepada Mohd Ajib (kanan) sambil disaksikan oleh Idris dan Hakimah pada Selasa.
Yujing (kiri) menyerahkan replika cek sumbangan kepada Mohd Ajib (kanan) sambil disaksikan oleh Idris dan Hakimah pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kedutaan China di Malaysia menyumbangkan sebanyak RM100,000 bagi menyokong program Jawi Food Bank pada Selasa.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JawiI) dalam satu kenyataan berkata,sumbangan tersebut adalah kali keempat yang diterima daripada kedutaan itu semenjak tahun 2020 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM500,000.

Menurut Jawi, sumbangan itu akan digunakan untuk menjayakan misi bantuan Musaadah Covid-19 yang dijalankan di bawah program berkenaan.

"Ia memberikan manfaat kepada penerima daripada pelbagai golongan masyarakat di Wilayah Persekutuan seperti barisan hadapan kesihatan dan keselamatan, B40, peniaga kecil, mualaf, ibu tunggal, pemandu teksi dan bas sekolah, pemandu p-hailing dan e-hailing, warga emas dan orang kurang upaya (OKU), gelandangan serta golongan bukan Islam," katanya.

Sumbangan tersebut telah disampailan oleh Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing kepada Datuk Mohd Ajib Ismail dalam satu majlis di Masjid Wilayah Persekutuan pada petang Selasa.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Dalam pada itu, JAWI memaklumkan sehingga kini, program bank makanan itu melalui kerjasama rakan strategiknya telah mengagihkan sumbangan bantuan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung bernilai RM 5.3 juta kepada Keluarga Malaysia yang terkesan akibat pandemik.

Katanya, bantuan yang berpusat di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur itu juga menyediakan perkhidmatan secara ‘walk in’ dan penghantaran terus kepada penerima.