Dua didakwa beri rasuah

Boon Sin (kiri) dan Tin Sheng (belakang) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.
Boon Sin (kiri) dan Tin Sheng (belakang) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Dua individu termasuk seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa atas pertuduhan memberi rasuah kepada juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap mereka.

Pengarah syarikat pengiklanan, Tey Boon Sin,33, dan seorang penganggur Leang Tin Sheng,43, tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas 10 pertuduhan berasingan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan empat pertuduhan terhadap Boon Sin, tertuduh didakwa secara rasuah memberi suapan bernilai RM68,500 kepada Mohd Amir Mohamad yang juga juruteknik yang bertugas di unit Special Engagement Against Loses (seal) zon selatan, TNB.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap kesalahan yang telah dilakukannya dibawah Seksyen 37(1) dan 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Kesalahan itu dilakukan di empat lokasi berasingan di sekitar daerah Melaka Tengah antara 6 Oktober 2021 hingga 18 Januari lalu.

Manakala Tin Sheng pula berdepan enam pertuduhan menyogok individu sama sebanyak RM27,000 bertujuan mendapatkan maklumat premis yang telah diserbu serta tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya.

Kesalahan berkenaan juga dilakukan di beberapa lokasi berasingan sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah antara 13 Ogos 2021 hingga 18 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 terhadap Boon Din manakala 10,000 terhadap Tin Sheng.

Mahkamah turut mengarahkan kedua tertuduh menyerahkan passport serta melaporkan diri di pejabat SPRM melaka sebulan sekali, dan menetapkan 24 Mei depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwan Shah Abdul Samat dan Boon Sin diwakli peguam, Ishak Mohd Kari manakala Tin Sheng tidak diwakili peguam.