Suami isteri dicekup seludup mercun, bunga api

Mercun dan bunga api bernilai RM17,660 yang dirampas polis.
Mercun dan bunga api bernilai RM17,660 yang dirampas polis.
A
A
A

PASIR MAS - Sepasang suami isteri dicekup polis selepas dipercayai menyeludup mercun dan bunga api bernilai RM17,660 pada Isnin.

Pasangan suami isteri berusia 38 dan 42 tahun itu ditahan di tepi jalan Lebuh raya Pasir Mas - Rantau Panjang di sini sekitar jam 11 malam selepas kereta jenis Proton Saga yang dinaiki terserempak dengan anggota dari unit kereta peronda polis (MPV).

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, semasa melakukan rondaan anggota MPV telah terserempak dengan sebuah kereta Proton Saga yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, anggota MPV telah mengarahkan kereta itu berhenti untuk membuat pemeriksaan.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu sambil disaksikan oleh kedua-dua suspek telah menjumpai kotak-kotak berisi mercun.

"Kotak-kotak itu telah dijumpai di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan bonet kereta berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Nasaruddin berkata, kesemua rampasan mercun termasuk kereta dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

"IPD Pasir Mas akan meningkatkan lagi rondaan cegah jenayah dari masa ke masa," katanya.