Perlis cadang eksport semula harumanis ke luar negara

Kerajaan Perlis akan meningkatkan pengeluaran harumanis bagi membolehkannya dipasarkan semula ke luar negara. Gambar kecil: Mohd Shukri
Kerajaan Perlis akan meningkatkan pengeluaran harumanis bagi membolehkannya dipasarkan semula ke luar negara. Gambar kecil: Mohd Shukri
A
A
A

KANGAR - Kerajaan Perlis berhasrat meningkatkan pengeluaran mangga harumanis bagi membolehkannya dipasarkan semula ke luar negara.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, harumanis sebelum ini pernah dieksport ke luar negara.

Bagaimanapun, kongsi beliau, Perlis terpaksa menghentikan pengeksportan itu disebabkan pengeluaran yang rendah.

"Dahulu, kita eksport harumanis ke negara ASEAN seperti Singapura Jepun dan sebagainya, namun ia terhenti disebabkan kuantiti kurang.

"Jadi, kita akan tingkatkan balik dan pasarkan di negara-negara seperti Jepun, Korea dan sebagainya," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Beliau berkata, pekebun harumanis telah mengenalpasti masalah berkaitan sekali gus mencari jalan untuk meningkatkan hasil dan kualiti buah itu.

Dalam pada itu, Mohd Shukri menyifatkan, tanaman harumanis adalah anugerah ALLAH SWT untuk Perlis yang tidak ada di tempat lain.

Menurut beliau, harumanis ditanam di Perlis mempunyai keunikan tersendiri walaupun ada negeri cuba menanamnya.

Artikel Berkaitan:

"Kadang-kadang, harumanis ditanam di negeri lain manis tapi tidak harum, namun di Perlis ada kedua-duanya mungkin disebabkan cuaca dan tanah yang sesuai untuk harumanis," katanya.

Tambah beliau, Perlis akan berusaha sebaik mungkin untuk meningkatkan lagi kuantiti dan kualiti harumanis.

"Jadi, kita sebagai kerajaan negeri sebenarnya sedang membuat kajian sebab kita bercadang menambahkan lagi kawasan ladang dan sebagainya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!